CAAM: Helikopter terhempas kendaliaan My Heli Club
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menyatakan helikopter yang terhempas dalam satu insiden di Pelabuhan Klang hari ini dikendalikan oleh syarikat ‘My Heli Club’.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Kapten Chester Voo berkata helikopter jenis Robinson R66 itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 9.05 pagi dan berada di ruang udara Pulau Indah, Pelabuhan Klang sekitar 9.21 pagi.
“Juruterbang (helikopter) melaporkan ops normal pada 9.45 pagi dan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur tidak menerima sebarang panggilan kecemasan selepas itu.
“Bagaimanapun, helikopter terbabit kemudiannya terhempas di kawasan lapang berdekatan Pulau Indah antara pukul 9.45 hingga 10 pagi hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata sejurus menerima maklumat mengenai kemalangan itu, CAAM mengaktifkan Pusat Penyelarasan Penyelamat Aeronautik.
Tambah beliau, kedua-dua mangsa iaitu juruterbang dan pembantu juruterbang warga tempatan yang terlibat dalam kemalangan itu dilaporkan mengalami kecederaan namun stabil.
Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Terdahulu dalam kejadian berkenaan, juruterbang berumur 72 tahun dan pembantu juruterbang berusia 52 tahun yang mengalami kecederaan ringan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata siasatan awal pihaknya mendapati, juruterbang helikopter itu hilang kawalan ketika cuba membuat latihan ‘hoovering’ di satu kawasan lapang berhampiran Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Pulau Indah sebelum terhempas pada ketinggian kira-kira empat meter.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai