Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Idea kerakyatan Melayu untuk semua kaum

ULASAN | Cadangan Tengku Razaleigh Hamzah untuk memberikan kerakyatan Melayu kepada semua kaum adalah idea yang memang hebat dan wajar didiskusikan jika kita hendak menguburkan masalah perkauman yang nampaknya semakin menebal walaupun sudah lebih 60 tahun negara ini merdeka.

Idea hebat itu pernah diusulkan oleh Putera-AMCJA pada 1947 dan andaikata jika Perlembagaan Rakyat menjadi perlembagaan kita, maka hari ini kita tidak akan ada polarisasi kaum serta kerapuhan perpaduan antara orang Melayu, Cina dan India selain isu bumiputera dan bukan bumiputera.

Perlembagaan Rakyat anjuran Putera-AMCJA mengusulkan kerakyatan dibuka kepada semua dengan syarat mereka yang terlibat menerima konsep negara sebagai Melayu. Antara cadangan Perlembagaan Rakyat pada masa itu adalah penubuhan majlis kaum-kaum untuk menangkis diskriminasi dalam undang-undang.

Idea itu bukan saja lahir kerana ketokohan Dr Burhanuddin al-Helmy tetapi hasil pemikiran tokoh-tokoh kiri lain serta kompromi yang dicapai dengan dengan Tan Cheng Lock, selaon disokong oleh parti bukan Melayu seperti MIC.

Jika kita tinjau pada ketika itu, dua isu menjadi pertelingkahan iaitu soal kerakyatan (jus soli) yang disokong AMCJA tetapi Putera (Pusat Tenaga Rakyat) keberatan menerimanya.

Begitu juga isu nama kerakyatan dengan Putera mengusulkan Melayu manakala AMCJA pula Malayan.

Namun atas kebijaksanaan Burhanuddin, Ahmad Boestamam dan Tan, mereka mencapai kompromi. Mereka setuju kerakyatan dibuka kepada semua dengan syarat individu terbabit menerima konsep negara sebagai Melayu.

Yang menarik juga ialah adalah gabungan bukan Melayu iaitu AMCJA mengusulkan dalam dokumen 10 prinsip mengenai Islam dan adat yang perlu dibawa orang Melayu sendiri, serta perhatian khas harus diberi kepada kemajuan orang Melayu.

Onn sendiri terpaksa undur

Dengan kompromi mereka berjaya menyelesaikan satu isu perkauman dengan amat bijak sekali. Penyelesaian mereka bukanlah bersifat memecahkan masyarakat kepada dua golongan sebaliknya mencari penyatuan bersama.

Namun pada masa itu, British lebih suka kepada Perlembagaan Persekutuan yang disokong Umno. Bagi saya, pihak yang akan memberikan tentangan paling hebat kepada cadangan Tengku Razaleigh itu akan datang daripada Umno sendiri.

Ia dapat dilihat kepada apa yang berlaku berpuluh-puluh tahun lalu apabila presiden pertama Umno sendiri, Onn Jaafar, terpaksa berundur kerana idea yang dibawanya untuk mewujudkan parti berbilang kaum ditolak.

Begitu juga apabila hari ini Dr Mahathir Mohamad mengatakan Anwar Ibrahim tidak boleh menjadi perdana menteri kerana parti yang diterajuinya - PKR - adalah parti berbilang kaum.

Dalam situasi hari ini, kekangan akan datang daripada parti perkauman dan agama kerana bagi mereka idea itu mengancam agenda naluri perjuangan identiti mereka.

Satu lagi masalah ialah, semasa Putera-AMCJA mengusulkan idea berkenaan, Malaysia belum lagi wujud dan nama negara ini ialah Tanah Melayu dan kemudian Malaya.

Maka identiti kerakyataan sememangnya adalah Melayu.

Hari ini isu bumiputera dan bukan bumiputera menjadi tembok perkauman yang memisahkan rakyat. Contohnya orang beretnik India dan Cina di Malaysia akan mengatakan - dalam pertuturan harian mereka - bahawa mereka adalah orang Cina dan India.

Sedangkan apabila berada di luar negara, mereka dengan bangga akan berkata mereka adalah warga Malaysia.

Maka pada hari ini, idea yang diutarakan Tengku Razaleigh itu memerlukan komprom kedua-dua pihak. Orang bukan Melayu harus berani mengugurkan identiti kaum masing-masing manakala orang Melayu pula harus bersedia mengugurkan identiti bumiputera – iaitu istilah yang tidak sepatutnya wujud semasa negara ini dibentuk dan dimerdekakan.


S Arutchelvan ialah timbalan pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.