ULASAN | Berani dalam pasrah: Kisah Perang Melaka-Pasai
Dalam Sejarah Melayu, ada sebuah kisah tentang Sultan Melaka menghantar Bendahara Paduka Raja, Laksamana Hang Tuah dan para pembesar lain untuk memerangi Pasai kerana rampasan kuasa akibat pengkhianatan adik Sultan Zainal Abidin.
Pihak Melaka menyerang dari laut, dan setelah kedua-dua belah berperang empat kali, Pasai tetap tidak dapat dikalahkan.
Rekod Sejarah Melayu mencatatkan bahawa tentera Melaka seramai 20,000 orang telah bertempur dengan 120,000 orang tentera Pasai.
Bekalan tentera Melaka pun semakin berkurangan. Laksamana dan Seri Bija Diraja mencadangkan agar mereka berundur kerana tidak beroleh kemenangan walaupun sudah lama berperang. Bendahara pun bersetuju. Pasrah.
Anak Bendahara yang bergelar Tun Pikrama Wira tidak bersetuju untuk berundur. Walaupun jelas tentera Pasai enam kali lebih besar daripada tentera Melaka dan mereka sudah kehabisan bekalan, misi diraja tetap perlu dilaksanakan, musuh tetap perlu dilawan.
"Biar saya yang pergi membawa tentera di hadapan bersama Laksamana dan Seri Bija Diraja." Tun Pikrama Wira telah menunjukkan keberanian dalam pasrah.
Semasa perang kali kelima, kedua-dua pihak mengalami kemusnahan besar. Tentera Melaka mula melarikan diri. Tinggal Bendahara tua berdiri seorang dengan lembingnya, serta Tun Pikrama Wira bersama Hang Isap dan Nina Ishak bersenjatakan busur dan panah.
Menantu Tun Pikrama Wira sendiri, Tun Hamzah undur berlari gelojoh bagaikan biawak hitam. Pasrah. Melihat keadaan tersebut, Tun Pikrama Wira menyeru tentera Melaka untuk kembali ke medan perang.
Nina Ishak berlari mendapatkan Tun Hamzah: "Adakah Tuan Hamba diambil sebagai menantu Tun Pikrama Wira kerana kacak? Bukan kerana kacak, tapi kerana disangka berani!" Tun Hamzah insaf dan berpatah balik ke medan perang, "Tahanlah amuk Hamzah akhir zaman!", lalu menyuntik semangat baru kepada tentera Melaka untuk berlawan habis-habisan sehingga Pasai berjaya dikalahkan. Berani dalam pasrah.
Apabila Sultan Zainal Abidin berjaya ditabalkan semula, baginda berjumpa dengan bendahara secara peribadi dan menolak untuk tunduk kepada kuasa Melaka. Baginda tidak kenang budi besar Melaka membantu merampas kembali takhta. Pasrah.
Dengan kecewa, Bendahara Paduka Raja mengerahkan tentera Melaka pulang. Dalam perjalanan, tentera pemberontak Pasai kembali mengalahkan Sultan Zainal Abidin, Bendahara enggan kembali untuk membantu walaupun dipujuk Laksamana.
Sesampai di Melaka, Laksamana mengadu akan peristiwa tersebut kepada Sultan Melaka dan baginda murka dengan Bendahara kerana gagal dalam misinya. Sesudah Bendahara berperang habis-habisan, bertarung nyawa bersama anak dan cucunya, jasa Bendahara sekeluarga bukan sahaja tidak dihargai malah disambut dengan kemurkaan Sultan.
Ditambah lagi aduan terhadapnya dibuat oleh Laksamana yang sudah banyak kali dibantunya. Pasrah. Apabila Sultan akhirnya bertanya kepada Bendahara, beliau tidak bercakap tentang kesilapan Laksamana menyebelahi Sultan Zainah Abidin yang derhaka terhadap Melaka. Sebaliknya Bendahara hanya melaporkan tentang keberanian pahlawan Melaka dalam.
Perang Pasai terutamanya kehebatan Laksamana. Akhirnya, semua pahlawan Melaka dikurniakan anugerah diraja. Setelah mendapat tahu perkara ini, Laksamana datang meniarap tujuh kali pada kaki Bendahara sebagai tanda memohon maaf. Bukan semua perkara boleh dilihat dari sudut yang baik. Kita perlu mengaku bahawa, kadangkala memang tiada jalan keluar dan kita pasrah. Tetapi kita masih boleh memilih untuk berani apabila berdepan kepasrahan.
Tahun 2020 tahun penuh pasrah
Pada tahun 1991, ketika itu saya berumur sembilan tahun. Kerajaan mengilhamkan satu wawasan untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju pada 2020. Bagi saya dan generasi saya, kami membesar menulis karangan dan melakar lukisan tentang masa depan yang futuristik, dengan bandar besar dan pencakar langitnya dikerumuni kereta terbang
Kami mengimpikan cita-cita dan mengimaginasikan apa yang akan terjadi kepada diri masing-masing menjelang 2020. Tiga puluh tahun selepas itu, kita kini berada di penghujung tahun 2020. Tiada bandar raya futuristik tiada kereta terbang.
Saya menjadi timbalan menteri sejenak. Ini langsung tidak pernah saya bayangkan semasa kecil dahulu. Namun, 2020 ditandai dengan pelbagai krisis. Paling menggerunkan ialah wabak Covid-19 yang melanda dunia.
Pada masa artikel ini ditulis, Malaysia antara negara Asean yang mempunyai jumlah jangkitan Covid-19 harian paling tinggi walaupun pada awalnya kita berjaya mengawal penularannya.
Hampir tiga bulan kita berkurung di rumah dan hampir setahun ini pergerakan kita amat terhad sekali. Saya sendiri pernah menjalani kuarantin rumah selama 14 hari. Pasrah. Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, ada sekelompok orang politik yang melakukan rampasan kuasa tanpa pilihan raya melalui Langkah Sheraton di kala wabak Covid-19.
Ramai juga kalangan mereka ialah kawan-kawan kami. Menang kalah memang adat berpolitik, tetapi biarlah mandat rakyat dihormati.
DAP sudah menjadi parti pembangkang selama lebih 50 tahun sebelum 2018, jadi ahli dan para pemimpin parti ini tidak janggal memainkan peranan sebagai pembangkang bertanggungjawab.
Ia sama seperti bagaimana kami memainkan peranan kami sebagai sebahagian kerajaan dengan kebertanggungjawaban selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Namun, yang tidak disangkakan ialah kami bukan dikalahkan oleh pihak lawan mahupun oleh undi rakyat tetapi disebabkan pengkhianatan kawan-kawan sendiri.
Setelah pengkhianatan Langkah Sheraton, mereka yang terlibat mula memberikan pelbagai alasan kepada tindakan mereka - ekonomi, Covid-19, Islam terancam, Melayu tergugat dan sebagainya. Pasrah.
Sepuluh bulan selepas langkah khianat tersebut, semua alasan yang diberikan terbukti tidak benar. Ekonomi kita menjadi semakin buruk - KDNK Vietnam kini menjangkaui Malaysia, wabak Covid-19 semakin parah sehinggakan Kementerian Kesihatan Malaysia memberi amaran kemudahan perubatan tidak mencukupi, semua janji manis untuk melaksanakan kononnya undang-undang Islam tidak berlaku malah peruntukan sekolah agama Islam dikurangkan
Dan aktiviti undian judi ditambah. Disebabkan kepentingan politik, parti-parti Melayu yang asalnya bersatu kini bergaduh sesama sendiri. Pasrah. Tiga dekad dahulu, kita tidak sabar menunggu ketibaan 2020, tapi sesudah sampai di sini, kita tidak sabar menunggu penghujungnya.
Akhirnya, kita sampai ke garis penamat 2020.
Adakah kita sudah bersiap sedia melangkah ke tahun baru? Ada yang akan masuk ke 2021 sebagai penganggur. Ada yang terpaksa potong gaji. Tidak kurang juga yang jatuh miskin - dulu ada konsep orang kaya baru, kini disebabkan wabak berpanjangan ada di kalangan kita yang menjadi orang miskin baru.
Ada yang akan melalui tahun baru sedang menjalani rawatan Covid-19, ada yang menemani keluarga atau kenalan yang sedang menjalani rawatan Covid-19. Ada juga yang kehilangan orang tersayang kerana wabak. Ramai yang sudah pasrah.
Bagaimana kita patut berdepan tahun 2021?
Beberapa tahun yang lepas, ahli falsafah kontemporari Slavoj Zizek menulis sebuah buku bertajuk Courage of Hopelessness. Saya sudah lama memikirkan bagaimana untuk menterjemahkan frasa tersebut ke dalam bahasa Melayu.
Pada penghujung tahun yang penuh kepasrahan ini, saya ketemui jawapannya: Berani dalam pasrah. Memang ada juga banyak perkara baik yang terjadi pada tahun ini. Saya mengajak staf saya untuk mengimbas hal-hal positif sepanjang 2020.
Dan mereka turut terkejut dengan hasilnya. Kadangkala kita sendiri terlupa untuk meraikan kemenangan kecil dalam kehidupan di kala kepasrahan. Namun, karangan ini tidak berhasrat untuk mengajak kita melihat yang positif saja.
Kita perlu berani mengaku bahawa 2020 ialah tahun yang tragis dalam apa jua aspek. Jika sekali pun kita tergolong daripada mereka yang terlindung daripada impak ekonomi Covid-19, dunia secara amnya terkurung dalam wabak dan segala aktiviti manusia tergendala.
Namun, ini tak bermakna kita tidak boleh terus berani berdepan krisis. Kita masih boleh berani dalam pasrah. Perasaan berani lebih mudah dibayangkan apabila kita punya harapan. Tetapi hanya dalam keadaan tiada harapan, dalam kepasrahan, kita betul-betul diuji.
Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah petugas barisan hadapan kita terutamanya pekerja di sektor perubatan sama ada doktor, jururawat, pegawai perubatan yang lain, mahupun pekerja pembersihan di hospital, klinik dan pusat perubatan.
Semuanya menunjukkan keberanian untuk terus bekerja dalam keadaan yang berisiko amat tinggi dengan perlindungan yang hampir tidak memadai, dan tanpa maklumat menyeluruh tentang wabak dan virus Covid-19, terutamanya pada peringkat awal.
Saban hari mereka bekerja memakai PPE bermandi keringat tanpa tahu bila semua ini akan berakhir. Setakat Dis 2020, hampir 1,800 orang pekerja sektor perubatan di Malaysia dijangkiti virus Covid-19.
Lebih satu pertiga daripada mereka yang dijangkiti ialah jururawat. Tetapi pekerja barisan hadapan kita tetap setia berada di stesen masing-masing melaksanakan tugas mereka. Inilah semangat berani dalam pasrah.
Semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), disebabkan kegagalan kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat terutamanya golongan paling terkesan, kita nampak satu gerakan rakyat yang masing-masing sanggup menyumbang apa yang mampu untuk kempen #KitaJagaKita.
Berjuta tan makanan sama ada makanan masak mahupun mentah dihantar setiap hari kepada mereka yang memerlukan bantuan di seluruh negara. Kebanyakannya diusahakan oleh rakyat Malaysia biasa yang tiada pangkat, tiada kuasa, malah kebanyakan mereka tiada kekayaan besar.
Dalam wabak ini dan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, mesti ramai yang menyangka sikap mementingkan diri akan berleluasa di kalangan masyarakat. Namun, kita melihat manusia sebenarnya berani mengetepikan kepentingan diri, dan mendukung satu sama lain, waima dalam keadaan penuh kepasrahan.
Ada yang mengambil risiko keluar rumah dalam situasi wabak menjadi tukang hantar barang-barang bantuan, ada yang menderma walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak tentu, ada yang menjadi sukarelawan membantu jaga SOP di pasar-pasar awam, ada yang menjahit pelitup muka, ada yang menghasilkan PPE untuk disumbang ke hospital-hospital kerajaan.
Di Bukit Mertajam, kami mendaftarkan 30 orang suri rumah daripada keluarga B40 untuk belajar membuat kuih raya Aidilfitri dan kuih Chang Cina bagi menjana pendapatan tambahan sepanjang PKP.
Setiap keluarga itu berjaya memperoleh RM2,000 sebulan kerana ibu mereka sanggup keluar dari zon selesa masing-masing untuk belajar kemahiran baru dan bekerja keras demi mencari pendapatan tambahan.
Pengalaman 2020 mengajar kita untuk berani dalam pasrah.
Pasrah dengan politik, tetapi anak muda perlu terus berani
Kadangkala sebagai seorang anak muda dalam politik, saya tertanya-tanya sama ada berbaloi untuk terus berjuang.
Ramai orang di luar sana yang pasrah dengan situasi politik negara. Parti A diberi peluang tapi disia-siakan dengan perebutan kuasa. Parti B yang kononnya parti agama dan kaum langsung tidak menjaga hal ehwal agama dan kaum apabila diberi kuasa, malah memburukkan lagi keadaan.
Ramai yang mengejar kapal terbang pulang untuk mengundi pada 9 Mei 2018 kini berasa mereka membuat kerja sioa-sia sahaja. Pasrah. Hujung tahun penuh pasrah ini, saya membaca buku Lim Kit Siang yang bertajuk Malaysia in the dangerous 80s.
Buku ini diterbitkan pada 1982 iaitu tahun kelahiran saya. Pada bahagian mukadimah buku itu, Kit Siang menulis: "Kehidupan seorang ahli parlimen ataupun Adun Pembangkang sering ditekan dengan teruk. Ketika menulis mukadimah ini, saya menerima panggilan tidak bernama yang mencemuh saya dengan pelbagai kata-kata carut… ini salah satu risiko pekerjaan kami.
Perjalanan seorang pembangkang susah dan berliku-liku, di sampingi pelbagai tekanan dan godaan hebat… Pembangkang merupakan mereka yang telah mengetepikan kehidupan mudah, dan mesti sedia berdepan lebih daripada "tekanan kecil" yang cuba menundukkan mereka.
Dua pemimpin kami, Chan Heng Kai dan Chan Kok Kit baru memperoleh kebebasan mereka pada Julai tahun lepas selepas empat tahun sembilan bulan ditahan tanpa pengadilan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri sejak 1976, bukan kerana sebarang jenayah terhadap negara atau rakyat, tetapi kerana mereka telah menggunakan hak perlembagaan dan politik mereka untuk bersuara.
Justeru tidak hairan jika ramai yang mengkhianati perjuangan; tetapi yang menakjubkan ialah, walaupun dengan tekanan yang teruk dan godaan yang hebat, begitu ramai masih berdiri teguh dengan keyakinan mereka dan berpegang kepada komitmen untuk perjuangan sosial demokrasi dan sebuah Malaysia untuk Rakyat Malaysia yang benar-benar majmuk."
Sudah 38 tahun selepas Lim Kit Siang menulis ayat-ayat tersebut dan terbukti beliau tetap teguh berani berdepan kepasrahan sepanjang kerjaya politiknya yang tidak dapat dibanggakan dengan banyak kemenangan.
Yang bangga ialah, Lim Kit Siang tidak pernah berganjak daripada perjuangan untuk sebuah negara Malaysia yang lebih baik. Berani dalam pasrah. Seperti 2020, kita perlu berani mengaku bahawa susun atur politik kita sudah gagal.
Politik pengecualian - politik yang mengecualikan golongan tertentu kerana perbezaan agama, kaum, gender, wilayah, parti politik - harus dihentikan. Parti politik bukan pasukan bola EPL - hidup mati, betul salah, tetap sokong satu pasukan. Politik EPL - yakni "hanya ada satu pasukan yang menang iaitu pasukan saya" - harus dihentikan.
Politik adverserial ataupun permusuhan ala EPL perlu diubah kepada politik musyawarah, iaitu rundingan dan kerjasama.
Memetik ide Zizek, kita harus berani mengaku bahawa janji politik lama bagaikan cahaya di hujung terowong - tapi bukan cahaya jalan keluar, sebaliknya cahaya kereta api yang sedang menuju ke arah kita.
Pasrah, ya, tetapi kita, terutamanya anak muda harus terus berani mencari jalan keluar walaupun dalam kepasrahan. Malaysia, tanah air kita terlalu mulia dan besar nilainya untuk kita berputus asa begitu sahaja daripada perjuangan membina bangsa dan negara.
STEVEN SIM ialah anggota parlimen Bukit Mertajam.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai