Syria Care dapat kebenaran mulakan prosiding komital pada Zamihan
Syria Care telah diberikan kebenaran untuk memulakan prosiding komital secara ex-parte (bersifat sebelah pihak) terhadap penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin.
Peguam Syria Care Meor Amir Meor Omar Baki berkata kebenaran tersebut diberikan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.
Katanya, tindakan itu diambil susulan kegagalan Zamihan untuk mematuhi perintah persetujuan yang direkodkan oleh Mahkamah Rayuan pada 13 Julai 2018.
Dalam perintah persetujuan tersebut, katanya, pihak-pihak bersetuju untuk Zamihan yang juga presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), untuk membayar ganti rugi sebanyak RM85,000.00 kepada Syria Care.
“Sehingga ke hari ini, Zamihan masih gagal untuk mematuhi perintah tersebut,” kata Meor Amir daripada tetuan Raja Faisal Iqbal & Meor, kepada Malaysiakini sebentar tadi.
Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 14 Ogos 2017 sebulat suara menolak rayuan Zamihan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendapati dia bersalah membuat kenyataan fitnah terhadap Syria Care, dengan kos RM10,000.
NGO bantuan rakyat Syria yang dilanda perang itu menyaman Zamihan susulan kenyataannya di akhbar The Star pada 27 Jun tahun sama bertajuk Senseless jihad puts Malaysia as violence hub, says Home Ministry officer.
Laporan itu mengaitkan Syria Care secara langsung sebagai kumpulan Syiah yang perlu dipantau oleh kerajaan.
Menurut Syria Care dalam kenyataan di Facebook, Mahkamah Tingi Shah Alam dalam penghakimannya 21 April 2017 antaranya berkata Zamihan adalah saksi tidak boleh dipercayai kerana keterangannya bercanggah dengan pliding yang difailkan.
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam penghakiman turut memutuskan Zamihan bersalah dan perlu membayar kos RM30,000 dan jumlah ganti rugi pula akan ditaksir pada tarikh yang lain.
Zamihan diberikan perintah sekatan dalam injunksi kekal yang menghalangnya bercakap, menerbitkan, menyebabkan atau membenarkan untuk diterbitkan kenyataan fitnah itu.
Dia juga diperintahkan menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat kepada plaintif yang disiarkan dalam Star Online.
Penerbit The Star, Star Media Group Berhad menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat pada 17 Mei 2017. The Star juga telah menarik balik artikel itu daripada laman webnya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Zamihan berkaitan perkembangan itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai