Pakar: Punca kematian Zulfarhan bukan hanya kebakaran
Seorang pakar perunding forensik di sebuah hospital kerajaan merumuskan, punca kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain, disebabkan jangkitan kuman di dada dan luka lecur utama ‘sequela’.
Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh Dr Rohayu Shahar Adnan, 49, berkata demikian semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, pada prosiding bela diri 18 pelajar UPNM terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan, Zulfarhan Osman.
Semasa disoal peguam Sri M Ramachelvam, saksi pembelaan ke-19 itu berpendapat kematian Zulfarhan Osman bukan diakibatkan oleh 100 peratus dari kebakaran, tetapi ada unsur jangkitan yang lebih awal malah diterukkan lagi dengan keadaan kehilangan permukaan kulit akibat kebakaran.
Ramachelvam: Berdasarkan laporan bedah siasat, gambar dan pemeriksaan mikroskopik. Boleh Dr Rohayu rumuskan punca kematian?
Dr Rohayu: Nombor satu ialah ‘chest infection’ kerana wujudnya jangkitan kuman di paru-paru dengan komplikasi radang pada jantung.
Nombor dua, saya letakkan sebagai ‘major burn sequela’ kerana pada pengiraan saya juga 67 peratus adalah dikategorikan sebagai ‘major burn’.
Dia berkata ini membuktikan bahawa sistem pertahanan badan si mati telah lemah ditambah pula dengan ‘major burn’, mengakibatkan keadaan mangsa tidak dapat disangkal 100 peratus.
Ramachelvam: Itu adalah rumusan Dr Rohayu?
Dr Rohayu: Ya, berdasarkan apa yang diberikan kepada saya.
Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman.
Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.
Mereka yang dituduh melakukan perbuatan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK), manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan, juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.
Mereka yang dituduh melakukan perbuatan itu di bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi 21 Mei 2017, didakwa mengikut Seksyen 330 KK dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.
Perbicaraan di hadapan hakim Azman Abdullah bersambung 12 Jan 2021.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai