Kenapa JKR minta maaf pada menteri saja - AMK
Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat digesa bersikap adil dan memohon maaf kepada semua pengguna yang pernah terlibat dalam kemalangan akibat keadaan jalan raya yang berlubang.
Ketua Pemuda PKR (AMK) Kuala Langat Mohd Shah Rezza Mohd Tuniman berkata, tidak wajar permohonan maaf hanya dibuat ketika kemalangan melibatkan menteri sahaja.
JKR Kuala Langat semalam memohon maaf kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang mengalami kecederaan selepas basikal dinaikinya terlanggar lubang.
“JKR Kuala Langat seharusnya bersikap adil untuk turut sama meminta maaf kepada pengguna jalan raya lain yang juga pernah teribat kemalangan malah ada yang meninggal dunia akibat kecuaian mereka.
“Masih banyak tempat kerosakan di sekitar jalan seliaan mereka dan apakah rasa ingin meminta maaf hadir hanya ketika kemalangan melibatkan menteri sahaja?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Khairy cedera di bahagian muka selepas terjatuh ketika berbasikal di Jalan Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor.
Susulan itu, pihak JKR membuat permohonan maaf itu di Twitter.
"JKR Hulu Langat memohon maaf atas kejadian yang menimpa YB menteri dan akan mengambil tindakan segera ke atas isu berkenaan dan mendoakan YB cepat sembuh," kata pihak itu.
Sementara itu, Mohd Syah turut menegaskan pihak terbabit supaya tidak berat sebelah antara menteri dan pengguna awam dalam membuat permohonan maaf itu.
“Saya ingin menegaskan bahawa tidak perlu ada berat sebelah kepada mana-mana menteri yang terlibat kemalangan di jalan raya kerana mereka mendapat keistimewaan pengecualian cukai jalan.
“Sebaliknya rakyat marhaen ini adalah pembayar cukai jalan setiap tahun dan berdiam diri bila kemalangan menimpa mereka,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai