Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

K'jaan dipuji hapus hutang air Pahang, langkah sama digesa bagi hutang PTPTN

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mengucapkan syabas buat kerajaan persekutuan atas usaha menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Pahang dan menghapuskan hutang bekalan air negeri itu berjumlah RM2.1 bilion.

Lanjutan itu, wakil rakyat DAP berkenaan turut menggesa kerajaan pusat untuk menghapuskan juga hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) buat golongan peminjam dalam kategori B40.

“Sekiranya peruntukan yang nilainya berbilion ringgit dapat diberikan kepada negeri Pahang dalam menghapus kira hutang bekalan air mereka, saya percaya kerajaan persekutuan juga mampu memberikan peruntukan sama dalam menyelesaikan masalah hutang yang disebutkan.

“Penghapus kiraan secara menyeluruh mungkin mustahil, namun penghapusan kiraan separuh atau sebahagian dari keseluruhan hutang akan banyak membantu golongan peminjam ini,” kata Lim yang menimbulkan bahawa golongan itu teruk terjejas gara-gara Covid-19.

“Pandemik Covid-19 ini merupakan malapetaka yang tidak dapat dielakkan, oleh itu kerajaan pusat hendaklah memastikan kelangsungan hidup rakyat diutamakan dan mencuba sedaya upaya mereka untuk membantu golongan yang memerlukan,” tambahnya.

Lim menyifatkan langkah penghapusan hutang bekalan air Pahang sebagai inisiatif terpuji oleh kerajaan persekutuan dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh kerajaan negeri.

“Saya percaya usaha ini bukan sahaja akan membantu meringkan beban kerajaan negeri dalam menguruskan hal sedia ada, ia juga akan membantu memperbaiki dan meningkatkan mutu hidup rakyat di negeri Pahang.

“Air merupakan sumber kehidupan, justeru penting untuk kerajaan negeri memastikan rakyat menerima bekalan air bersih dan selamat,” katanya lagi.

Bulan lepas, dilaporkan PTPTN mengumpul bayaran semula berjumlah RM595.25 juta daripada 422,609 peminjam bagi tempoh tempoh bayaran balik pinjaman dari Mac hingga Oktober.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata satu pertiga dariapda keseluruhan 1.5 juta peminjam - dengan anggaran pinjaman keseluruhan berjumlah RM1.13 bilion - memilih untuk membayar hutang mereka ketika tempoh sembilan bulan berkenaan.

Setakat Oktober, seramai 422,609 daripada 1.5 juta peminjam memilih untuk meneruskan pinjaman semula pinjaman mereka, meskipun terdapat kebenaran untuk penangguhan bayaran.