Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kilang didakwa pindah pekerja, bersih asrama sebelum serbuan

Sebuah kilang sarung tangan getah di Klang didakwa memindahkan pekerja yang tinggal di asrama ke hotel berdekatan dan melakukan pembersihan pada malam hari sebelum pihak berkuasa menyerbu premis mereka.

Sumber mendakwa kilang itu telah mendapat tahu mengenai serbuan berkenaan daripada "orang dalam kerajaan."

Bagaimanapun, jurucakap syarikat itu menafikan perkara ini.

Menurut satu sumber, pengurusan kanan kilang itu dikatakan tiba di asrama di belakang kilang itu, malam tadi, untuk melakukan beberapa perubahan.

"Tadi malam, pengurusan kanan datang tiba-tiba dan daripada 70 orang menghuni setiap bilik dan ramai orang bagi setiap tempat tidur, sekarang hanya 26 orang satu bilik (satu orang untuk setiap katil dan bukan tiga orang seperti sebelum ini).

"Sepanjang malam, mereka memperbaiki asrama itu dan memindahkan orang. Pekerja tidak dapat tidur," kata sumber itu.

Foto yang didakwa sebelum asrama itu dikemas menunjukkan biliknya sesak dan tidak teratur.

Tetapi ketika pihak berkuasa menyerbu asrama pagi ini, bilik-bilik tersebut kelihatan jauh lebih bersih dan kemas.

Beberapa pekerja dilihat tidur di bahagian bawah katil bertingkat di atas tilam nipis.

Bagaimanapun, ada juga pekerja dilihat sedang tidur di atas papan kayu, dengan kebanyakan tilam di asrama itu telah dikeluarkan.

Serbuan dilakukan bersama oleh Jabatan Tenaga Kerja, Majlis Perbandaran Klang, dan pejabat kesihatan daerah Klang.

Petugas media juga dibawa menyertai serbuan berkenaan tanpa diberitahu terlebih dahulu mengenai premis sasaran pihak berkuasa itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kementerian Sumber Manusia Mohd Asri Abdul Sahab enggan mengulas mengenai dakwaan kebocoran maklumat.

Sementara itu, jurucakap syarikat pengeluar sarung tangan getah itu menafikan pihaknya menerima maklumat daripada 'orang dalam'.

"Karut, tuduhan itu tidak berasas," kata jurucakap kilang kepada media ketika ditemui secara berasingan.

Dia juga berkata walaupun penginapan itu bukan "hotel lima bintang" tetapi para pekerja masih memiliki tempat untuk tidur, makan, mandi dan bersosial.

"Ada ruang untuk tambah baik tetapi saya tidak mendengar mereka (pekerja) banyak mengeluh," katanya.

Asri, ketika sidang media, berkata kilang itu telah berusaha mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] daripada segi kebersihan dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Banyak lagi perkara Akta 446 perlu majikan patuhi.

"Satu, penginapan triple decker (katil tiga tingkat), kita naik tu, kena naik tangga, bahaya kepada pekerja," katanya.

Menurut undang-undang, majikan juga mesti menyediakan tilam yang tebalnya sekurang-kurangnya empat inci, bantal, selimut dan juga loker peribadi untuk pekerja mereka, jelasnya.

"Syarikat perlu ada superviser untuk sediakan, kena ada hand sanitiser, penyukat suhu.

"Dalam satu bilik, (katakan) ada isi 12 orang, siapa yang tinggal di situ untuk kita pastikan siapa tinggal di situ betul, kena ada senarai nama, perkara ini yang kami minta patuhi," katanya lagi.

Sementara itu, pegawai kesihatan daerah Klang, Ili Syazwani Mohd Mashudi berkata pejabat kesihatan menemui beberapa pelanggaran.

Katanya,  pejabat kesihatan juga sedang menyiasat masalah lain sebelum memutuskan sama ada akan menutup kilang itu sepenuhnya atau hanya asrama di dalam kilang.

Antara faktor lain yang dipertimbangkan adalah keadaan pengangkutan, kilang dan kafeteria.

"Bagi asrama, kami menyatakan ia tidak mematuhi perkara-perkara tertentu; sebagai contoh, pembasmian kuman dan pembersihan yang perlu dilakukan tiga kali sehari dan direkodkan.

“Pada masa yang sama, ketika kami mengunjungi asrama lelaki, kami menjumpai satu bilik yang melanggar SOP penjarakan sosial.

"Ya, mereka melakukan penandaan, tanda 'X' ada, tetapi kenyataannya hal itu tidak diamalkan dan mereka tidak dapat mengemukakan bukti hanya dengan satu catatan daripada operator kilang. Itu memang kesalahan yang boleh kita kompaun.

"Dari apa yang kami lihat, ada kemungkinan (kilang ini) boleh ditutup," katanya dipetik Malay Mail.

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.