Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MB minta Adun dahulukan sumbangan untuk mangsa banjir

Bagi membantu mangsa banjir di Kelantan, kerajaan negeri meminta wakil-wakil rakyatnya untuk mendahulukan sumbangan dari pihak masing-masing buat masa ini.

Kata Menteri Besar, Ahmad Yakob, memandangkan bencana alam itu masih belum berakhir, kerajaan negeri belum dapat membuat penilaian peruntukan untuk diagihkan kepada mangsa.

Ia termasuklah anggaran kerugian banjir dialami petani dan pesawah yang menurut Ahmad hanya akan dijalankan sebaik saja bencana alam berkenaan berakhir.

"Sekarang kita beritahu wakil rakyat agar mereka dahulukan (sumbangan) sebab belum tahu berapa banyak dan begitulah biasanya, dan mereka akan buat tuntutan semula,” katanya seperti dipetik BH Online.

Jelas Ahmad, peruntukan sumbangan itu disediakan di bawah Tabung Bencana atau Tabung Serambi Mekah dan akan diagihkan menerusi Adun kawasan yang berkenaan.

"Secara asasnya kita sediakan RM50,000, Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) mungkin banyak begitu, juga bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Seperti kelaziman saban tahun, musim tengkujuh menyebabkan negeri-negeri di pantai timur - Kelantan, Pahang dan Terengganu - dilanda banjir pada hujung tahun.

Keadaan di Terengganu dan Kelantan yang berdepan masalah banjir kini semakin pulih apabila jumlah mangsa terus berkurangan berbanding sebelum ini.

Semalam, situasi banjir di Kelantan dan Terengganu dilaporkan semakin pulih apabila bilangan mangsa mencatatkan penurunan, dan pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup secara berperingkat. 

Di Kelantan, setakat semalam hanya 828 mangsa daripada 309 keluarga masih ditempatkan di sembilan PPS di Pasir Mas.

Musim tengkujuh dijangka berakhir Mac 2021 yang menyaksikan beberapa siri episod hujan lebat di kawasan terlibat.

Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan fasa awal musim tengkujuh sehingga Dis ini membabitkan Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala mulai Januari depan episod hujan lebat dijangka membabitkan Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.