Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah putuskan saman SC pada firma Deloitte sah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan saman RM2.2 juta yang dikenakan Suruhanjaya Sekuriti (SC) ke atas firma Deloitte PLT berhubung kegiatan 1MDB adalah sah.

Hakim Mariana Yahya membuat ketetapan itu sambil menolak permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan firma audit tersebut selepas mereka didapati gagal mengesan aktiviti yang menyimpang daripada kebiasaan.

Mariana membacakan keputusan itu dalam prosiding di mahkamah terbuka pagi ini.

Pada 30 Jun tahun lalu SC dilaporkan mendenda Deloitte sebanyak RM2.2 juta atas empat kesalahan membabitkan sukuk bernilai RM2.4 bilion yang dikeluarkan anak syarikat 1MDB, Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB).

Dalam kenyataannya SC berkata Deloitte merupakan juruaudit berkanun untuk BMSB dan 1MDB Real Estate Sdn Bhd untuk tahun fiskal berakhir pada 31 Mac 2015 dan 2016.

Deloitte kemudian mencabar saman berkenaan di mahkamah dan hakim pada 25 Nov tahun lalu membenarkan ia ditangguhkan.

Ditemui media selepas prosiding berakhir, peguam SC, Brendan Navin Siva, berkata hakim mendapati keputusan pihak berkuasa mengenakan denda itu selaras dengan peruntukan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Katanya mahkamah berpendapat sebelum dikenakan denda SC memberikan peluang kepada Deloitte untuk memberi sebab atas kegagalan mereka membangkitkan aktiviti yang menyimpang daripada kebiasaan dalam audit syarikat berkaitan 1MDB.

"Notis tunjuk sebab (yang dikeluarkan SC sebelum mengenakan saman) adalah spesifik dan jelas," katanya.

Deloitte juga, menurut peguam itu, diberikan peluang untuk menjelaskan dakwaan yang dikenakan dan unsur berat sebelah di pihak SC.

"(Mahkamah mendapati) denda RM2.2 juta yang dikenakan SC sesuai dengan keseriusan pelanggaran (yang didakwa)," katanya.

Sementara itu peguam Deloitte, Malik Imtiaz Sarwar, berkata dia akan menunggu arahan lanjut daripada firma terbabit sebelum memutuskan sama ada akan memfailkan rayuan atau tidak.

[Baca berita penuh]