Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Kluster tempat kerja: Kerajaan wajar lebih proaktif

Pola kadar kes baharu harian semakin membimbangkan.

Kewujudan kluster-kluster baharu dengan kes harian yang tinggi menunjukkan bahawa langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 belum benar-benar bersepadu.

Hampir satu pertiga kluster baharu yang wujud adalah kluster dalam kategori tempat kerja.

Majoriti kluster ini melibatkan bahagian tapak binaan.

Kluster tapak binaan ini menunjukkan unjuran kenaikan kadar jangkitan yang sangat tinggi.

Sebagai contoh, kluster tapak bina Damanlela mencatatkan hampir 3,000 jumlah kes keseluruhan setakat semalam.

Dalam sidang parlimen baru-baru ini, saya membangkitkan persoalan berkenaan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan "kongsi" binaan.

Soalan saya pada 19 November itu dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Mohd Redzuan Md Yusuf.

Beliau menyatakan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan meneliti dan merangka pelan menangani isu ini.

Namun, seperti yang dapat dilihat kebelakangan ini, KPKT hanya mewujudkan sebuah SOP yang dikenali sebagai Prosedur Permohonan Permit Sementara Bangunan bagi Rumah Pekerja dalam Tapak Bina.

Selain itu, menteri KSM pula baru menggerakkan operasi serbuan meninjau penginapan pekerja tapak binaan.

Seperti yang dilihat oleh menteri sendiri, keadaan asrama ini adalah sangat daif dan lemah dari aspek pencegahan penularan wabak Covid-19.

Saya menyeru agar kerajaan terutamanya KPKT, KSM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak sekadar mengambil langkah-langkah di atas tetapi menguatkuasakan Protokol Tindak Balas Kecemasan bagi penyediaan dan pelaksanaan tatacara pengurusan kes-kes kecemasan sekiranya terdapat jangkitan atau siasatan jangkitan Covid-19.

Kerajaan juga wajar memastikan majikan-majikan lebih bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja-pekerja tapak binaan.

Menurut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan KKM, punca merebaknya Covid-19 ialah pekerja binaan di bawah subkontraktor berpindah daripada satu tapak pembinaan kepada tapak yang lain, apabila projek sebelum itu telah selesai.

Langkah amat segera dan berkesan wajib diambil. Sebelum nasi menjadi bubur, kotakan kata dalam dewan mulia.


SYED IBRAHIM SYED NOH ialah ahli parlimen Ledang merangkap pengerusi PKR Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.