Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Perkasakan pendidikan kesihatan masyarakat

Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai 145 buah hospital milik kerajaan, 2,838 buah klinik kesihatan kerajaan dan 280,000 orang penjawat awam sektor kesihatan yang perlu diselia, ditadbir urus dan dimanfaatkan secara maksimum untuk kemaslahatan masyarakat negara ini.

Ini tidak termasuk lagi dengan kira-kira lebih 2,000 buah ambulans seluruh negara, 167 buah Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), lima buah makmal kesihatan awam dan 30 buah bahagian dalam KKM serta 12 buah institusi dan agensi berkaitan kesihatan. Semua ini tidak boleh tidak perlu beroperasi pada setiap hari.

Bukan KKM sahaja, setiap kementerian amat mengharapkan peruntukan kewangan dari pihak kerajaan melalui Kementerian Kewangan pada setiap tahun. Sebab itulah, Rang Undang Undang Perbekalan (Belanjawan) dibentang, dibahas dan diharapkan untuk kelulusan parlimen.

Syukur untuk Belanjawan 2021 kali ini para wakil rakyat telah meluluskannya walaupun pada bilangan yang cukup tipis, iaitu majoriti tiga undi sahaja. Namun, kejayaan meluluskan belanjawan ini membolehkan semua angka nombor yang disebutkan di awal tadi dapat terus beroperasi tanpa ada hari yang patut mereka ‘KIV’ tugas.

Sektor kesihatan sama penting dengan sektor pendidikan di mana-mana negara sekali pun. Beruntunglah kita yang berada di Malaysia kerana mempunyai sebuah kerajaan prihatin sejak Merdeka lagi dengan tidak menswastakan produk-produk kesihatan atau tidak mengenakan caj sebenar ketika kita menerima perkhidmatan mereka.

Namun begitu, saya yakin KKM khususnya masih memerlukan sebuah peruntukan lebih besar bagi menampung segala lompong-lompong berbaki dalam mewujudkan sebuah masyarakat madani yang sihat di luar dan dalam.

Untuk lebih faham, KKM melalui menterinya, Dr Adham Baba pasti mengharapkan agar negara kita dapat menyelesaikan permasalahan penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit yang melanda masyarakat kita sejak dahulu.

Dr Adham Baba 

Sedar tak sedar, penyakit tidak berjangkit sebagai contoh, merupakan ‘pembunuh senyap’ dalam kalangan rakyat kita dan statistiknya makin meningkat tinggi dari hari ke hari. Ini menyebabkan kos perubatan untuk itu akan bertambah berbanding sebelumnya.

Oleh sebab itu, teori ‘mencegah lebih baik dari mengubati’ harus diseimbangkan dengan tindakan perubatan yang dilakukan pada setiap hari.

Untuk tujuan itu, negara sebenarnya memerlukan sebuah agensi atau gerakan lebih ekstrim bagi memperkasakan aktiviti promosi gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. Pasti ada yang bertanya, masih tidak cukupkah dengan bentuk-bentuk promosi yang digunakan sekarang melalui media massa?

Jawab jujur, ya masih tidak mencukupi untuk mengubah mentaliti masyarakat kita. Nak tak nak, kerajaan memerlukan sebuah badan khusus untuk berfungsi sebagai ‘frontliners’ atau tentera kempen mendidik masyarakat untuk hidup dalam keadaan budaya sihat.

Mesej terus ke pintu

Badan berkenaan perlu hadir ke pintu-pintu rumah dan bertemu muka dengan setiap rakyat dan menyampaikan mesej sihat pada setiap hari. Begitulah agaknya senario tahap keseriusan yang perlu ada dalam proses promosi kesihatan negara kita.

Perlu kita akui, jika sekadar mengharapkan para penjawat awam sahaja melakukan proses promosi, sudah tentu tidak cukup. Oleh sebab itu peranan Badan Bukan Kerajaan (NGO) cukup penting sehinggakan banyak negeri yang mempunyai portfolio khas menjaga NGO di negeri berkenaan.

Untuk dunia kesihatan, jika tidak salah, dahulu fungsi ini dilaksanakan oleh Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia di bawah KKM, namun sekarang nampaknya seperti ia sudah tiada. Ada yang menyebut bahawa lembaga berkenaan telah dimansuhkan oleh kerajaan terdahulu.

Beza agensi lembaga promosi dan sesebuah jabatan kerajaan ialah agensi lebih praktikal dan tepati keperluan semasa, tidak seperti jabatan kerajaan yang mempunyai pelan jangka Panjang mengikut dasar yang telah ditetapkan kerajaan.

Ambil contoh Agensi Pengurusan Bencana Negara atau Nadma, KKM juga perlukan agensi untuk menggerakkan semua NGO dan aktiviti komuniti dengan lebih berkesan dalam mendidik masyarakat memperoleh kesedaran kesihatan yang baik.

Ini kerana agensi mempunyai tatacara menggerakkan NGO secara tersendiri dan tidak begitu banyak kerenah atau amalan birokrasi.

Antara keperluan semasa yang mendesak sekarang ialah kempen pembudayaan norma baharu, pencegahan wabak denggi dan promosi hidup sihat untuk cegah penyakit tak berjangkit dalam kalangan komuniti.

Jika tiada agensi kesihatan yang menggerakkan NGO dan komuniti, kempen pembudayaan norma baharu yang berjuta ringgit hanya sampai di media massa sahaja.

Pada saat ini, jika kita melihat hospital, klinik atau ambulans, kita hanya membayangkan tentang sakit. Mungkin sebab itu jugalah di Indonesia hospital dipanggil ‘Rumah Sakit’. Kita perlu mengubah persepsi ini dari sakit menjadi ‘saya perlu sihat’ apabila melihat elemen-elemen berkenaan.

Jika perlu Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia diwujudkan semula, apa salahnya? Ketika kita sedang berhadapan dengan Covid-19 inilah waktu paling sesuai untuk menubuhkan agensi khusus bagi pendidikan kesihatan masyarakat. Kita sudah tidak boleh bergantung harap kepada jentera KKM yang ada kerana mereka sudah begitu terbeban dengan mengurus pandemik Covid-19 yang masih tidak nampak tanda-tanda pemergiannya.

Andai kata lembaga berkenaan difikirkan kurang sesuai berada bawah payung KKM, mungkin juga tidak salah ia diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau Pejabat Perdana Menteri (PMO) sendiri. Selaku rakyat marhaen yang memerhatikan isu-isu semasa dalam negara, saya berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan mewujudkan semula sebuah agensi khusus untuk pendidikan kesihatan rakyat di Malaysia. Kita jaga kita!


IBN SAAD ialah pemerhati isu-isu semasa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.