Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Timbalan menteri: 'Jangan sensasikan kes jenayah berkait agamawan'

Masyarakat dan pihak media dinasihatkan supaya tidak mensensasikan kes-kes jenayah yang dikaitkan dengan golongan agamawan, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.

Jelasnya, secara umum dan prinsip seseorang itu tidak dikira bersalah selagi tidak dibuktikan oleh mahkamah bahawa dia bersalah.

"Untuk mendakwa itu ini dan untuk melaporkan kepada pihak keselamatan sesiapa pun boleh buat.

"Nasihat saya kepada semua pihak agar tidak mensensasikan isu ini kerana ia melibatkan soal kepentingan dan keyakinan masyarakat kepada agamawan dan institusi agama itu sendiri.

"Jadi kena berhati-hati, saya ada sebut kepada media sendiri supaya tidak mensensasi isu ini," katanya kepada media selepas Majlis Pengagihan Bantuan Musim Tengkujuh kepada Nelayan dan Petani di DUN Panchor, Kota Bharu, hari ini.

'Sebolehnya tutup cerita'

Anggota parlimen Pengkalan Chepa itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan mutakhir ini susulan banyak kes jenayah khususnya jenayah seksual dikaitkan dengan golongan agamawan termasuk guru-guru agama.

Ahmad Marzuk berkata, perkara yang buruk seumpama itu sebolehnya perlu ditutup, sekiranya tidak menjejaskan soal kepentingan awam.

Tegasnya, laporan isi berkenaan dikhuatiri mendorong orang lain untuk melakukan kesalahan sama.

"Jadi tak perlu kita jadikan bahan untuk melariskan berita. Kerana ia mendorong manusia lain untuk buat sama. Islam ajar kepada kita untuk tutup perkara-perkara yang boleh buatkan orang cuba nak tahu dan cuba nak buat.

"Sebab itu kalau kita tengok apabila keluar saja berita sesuatu isu, ia akan jadi macam satu kluster, keluar pula rentetan isu-isu berkaitan.

"Saya pun tak faham apa strategi media, tetapi Islam ajarkan kepada kita perkara aib dan benda yang mendorong orang untuk buat perkara salah kita kena tutup," jelasnya.