Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Orang ramai ziarah jenazah Tun Rahah

Orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat terus hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi di Kuala Lumpur hari ini.

Mereka hadir sejak awal pagi sebelum dibenarkan masuk pada sembilan‬ pagi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk perlu mengisi butiran lengkap dan semakan suhu badan.

Bagi Irma Awang, 40, menyifatkan Allahyarhamah yang merupakan nenek saudaranya, seorang yang lemah lembut dalam berbicara dan setiap kata-katanya penuh dengan nasihat.

"Sukar melihat arwah marah, sekalipun arwah marah, arwah akan titipkan nasihat di dalamnya. Sesungguhnya, kami memang sangat terkesan dengan pemergiannya dan tidak mampu untuk berkata-kata," katanya yang memanggil Allahyarhamah dengan panggilan nenda.

Kong Sooi Lin yang merupakan bekas pekerja kepada Mohamed Nazir Razak berkata Tun Rahah adalah seorang ibu yang baik terhadap anak-anaknya.

"Kecekalan beliau dalam membesarkan anak-anak adalah kejayaan yang besar dan beliau telah menunjukkan teladan yang baik," katanya.

Turut berdukacita, Penny Teo, 55, yang menganggap Tun Rahah seorang wanita yang baik dan sangat mesra.

"Sepanjang saya mengenalinya, beliau adalah seorang yang sangat merendah diri dan baik dalam berkata-kata," katanya yang merupakan pekerja Mohamed Nazim Razak.

Bekas Imam Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Mohd Syukri Ismail, 31, menyifatkan Tun Rahah sebagai tokoh negara yang disegani.

Menurutnya, jasa Allahyarhamah terlalu besar sementelah beliau adalah isteri kepada perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein dan ibu kepada perdana menteri Najib Razak.

"Saya secara peribadi, sangat mengagumi sifat keperibadiannya dan kepimpinannya. Jasanya terlalu besar dan harus dikenang semua," katanya kepada Bernama.

Mohd Azrul Mohd Isa, 30, pula mengakui sangat mengagumi dan menghormati sifat Allahyarhamah dan menganggap beliau umpama ibunya sendiri.

"Saya kagumi sikapnya yang penyayang, prihatin, baik hati dan tabah malah sentiasa membantu masyarakat terutamanya wanita," kata pekerja swasta itu.

Tun Rahah, 87, meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court di Kuala Lumpur, petang semalam.

Allahyarhamah berkahwin dengan Abdul Razak pada 4 Sept 1952, dan dikurniakan lima anak lelaki iaitu Najib, Mohamed Nazir, Ahmad Johari, Mohamed Nizam dan Mohamed Nazim.

-Bernama