Bayi masih bertali pusat ditemui di belakang rumah
Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat serta uri ditemukan seorang lelaki di belakang sebuah rumah di Kampung Delek Kanan, Klang kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata bayi itu dijumpai lelaki berkenaan selepas diberitahu oleh seorang kanak-kanak yang bermain di hadapan rumahnya.
“Bayi perempuan itu ditemukan dalam keadaan berbungkus kain batik, bertuala dan masih bertali pusat serta uri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya hasil pemeriksaan awal pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang di lokasi bayi itu ditemukan mendapati, fizikalnya normal dan bayi itu berada dalam keadaan stabil.
Shamsul Amar berkata bayi itu dihantar ke HTAR untuk pemeriksaan lanjut dan polis sedang berusaha mengesan ibu kepada bayi perempuan berkenaan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai