Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah akan dengar, putuskan isu imuniti Sundra Rajoo

Mahkamah Persekutuan akan mendengar dan memutuskan sama ada bekas Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Datuk Profesor Dr N Sundra Rajoo memiliki imuniti daripada sebarang tindakan pendakwaan ke atasnya ketika menjadi pengarah pusat itu.

Mahkamah itu juga akan memutuskan sama ada penggunaan budi bicara Peguam Negara (AG) mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan adalah dibenarkan dalam semakan kehakiman dalam keadaan yang sesuai.

Ini susulan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Sundra Rajoo, yang didakwa dengan pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi bahawa beliau memiliki imuniti daripada sebarang tindakan pendakwaan ke atasnya ketika menjadi pengarah pusat itu.

"Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, kami membenarkan permohonan ini. Pemohon mungkin perlu mengubah beberapa soalan," kata Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang dan prosiding yang berlangsung secara persidangan video.

Persoalan perundangan lain yang perlu diputuskan Mahkamah Persekutua ialah sama ada Mahkamah Tinggi dalam prosiding semakan kehakiman mempunyai bidang kuasa dan kuasa, dalam kes yang sesuai, memberikan relif termasuk membatalkan pertuduhan jenayah oleh Pendakwa Raya dan mengeluarkan perintah larangan terhadap prosiding di mahkamah rendah.

Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lepas memutuskan bahawa forum yang sesuai untuk memutuskan isu imuniti Sundra Rajoo ialah mahkamah jenayah dan bukan mahkamah sivil serta remedi mengenai sama ada Sundra Rajoo adalah kebal daripada pendakwaan perlu diuji di mahkamamh jenayah selepas bukti dikemukakan pihak pendakwaan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah membenarkan rayuan Kementerian Luar, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kerajaan dan AG untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 31 Dis 2019 yang membenarkan semakan kehakiman Sundra Rajoo.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan semakan kehakiman Sundra Rajoo dan mengeluarkan deklarasi bahawa beliau adalah kebal sebagai seorang bekas pegawai atasan AIAC bagi tindakan yang dilakukan dalam kapasiti rasminya.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan S.Narkunavathy berhujah bahawa permohonan itu menjadi akademik kerana tidak ada pertuduhan jenayah yang belum selesai terhadap Sundra Rajoo selepas keputusan Mahkamah Rayuan.

"Pemohon tidak boleh ke Mahkamah Persekutuan untuk memohon agar isu imuniti diputuskan kerana sifat imuniti adalah terbatas kepada tindakan dan perkara yang dilakukan dalam kapasitinya. Sama ada sesuatu telah dilakukan dalam kapasiti beliau sebagai pegawai atasan adalah fakta dan fakta ini hanya akan dikemukakan jika pemohon didakwa.

“Sehingga kini, tidak ada pertuduhan terhadap beliau dan inilah sebabnya kami mengatakan bahawa ia adalah sesuatu yang bersifat akademik," katanya sambil memohon mahkamah menolak permohonan itu.

Peguam utama yang mewakili Sundra Rajoo iaitu Datuk Malik Imtiaz Sarwar pula berhujah bahawa responden gagal menangani kesan perundangan susulan keputusan Mahkamah Rayuan mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi yang membenarkan semakan kehakiman itu.

"Pertuduhan itu telah dibatalkan susulan keputusan Mahkamah Tinggi. Berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan, pertuduhan itu boleh dikenakan sekali lagi. Selain itu, isu yang dikemukakan pemohon adalah jelas sesuatu yang baharu dan mempunyai kepentingan umum. Ia turut membabitkan isu keperlembagaan tinggi berkaitan sistem keadilan jenayah dan akses kepada keadilan.

"Selain itu, kesan keputusan Mahkamah Rayuan itu ialah Pegawai Atasan tidak lagi boleh mengelak penahanan dan prosiding jenayah atas alasan imuniti yang dinikmati di bawah undang-undang yang menyaksikan mahkamah jenayah memutuskan bahawa imuniti adalah pembelaan statutori.

“Ini telah menjejaskan skim imuniti dan keistimewaan yang diberikan dan melemahkamh rasional perlindungan sedemikian," kata Malik Imtiyaz yang dibantu peguam K Shanmuga dan Datuk Dr Abdul Shukor Ahmad.

Sundra Rajoo, yang mengetuai AIAC dari 2010 hingga akhir tahun 2018, telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakimann namun Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan itu pada Mac tahun lepas.

Mahkamah Rayuan pada 23 Mei tahun lepas telah membenarkan rayuan Sundra Rajoo dan memberi kebenaran untuk beliau memulakan prosiding semakan kehakiman.

Susulan keputusan itu, kes tersebut telah dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar semakan kehakiman Sundra Rajoo.

Pada 22 Jan lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membatalkan tiga pertuduhan CBT membabitkan dana AIAC berjumlah lebih RM1 juta terhadap Sundra Rajoo selepas hakim itu memutuskan bahawa beliau adalah terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang menyebut bahawa Sundra Rajoo memiliki imuniti daripada sebarang pendakwaan bagi tindakan yang dilakukan dalam kapasiti rasminya.

- Bernama