Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KATA ADUN | Alasan teknikal tolak usul kecualikan cukai rumah kos rendah

Saya merujuk kenyataan Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad berhubung penolakan usul pengecualian cukai harta rumah kos rendah yang dibawa oleh Ahli Dewan Negeri Johor kawasan Pekan Nenas, Yeo Tung Siong semasa sidang Dewan Negeri, yang disifatkan sekadar kerenah teknikal.

Saya menyeru kerajaan Johor meneliti kembali usul berpaksikan rakyat tersebut yang sekali gus bakal meringankan beban rakyat dalam keadaan sukar sekarang.

Saya mengambil maklum pendirian beliau dan kerajaan negeri bahawa usul Adun Pekan Nenas bertentangan dengan Seksyen 134 dan 135 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Kedua-dua peruntukan seksyen tersebut membataskan kelulusan Dewan Johor dan sebaliknya memerlukan pindaan di peringkat persekutuan.

Saya juga cakna bahawa Dewan Negeri Johor tidak dapat menentukan sikap dan pendirian kerajaan tempatan.

Oleh itu, usul berkenaan dibawa di Dewan Negeri Johor bagi memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk berbincang dengan 16 kerajaan tempatan.

Namun begitu, kenyataan menteri besar seakan mempamerkan sikap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak peduli untuk mengadakan perbincangan.

Sikap sedemikian seperti mengabaikan kesukaran yang sedang dihadapi kelas masyarakat berpendapatan sederhana dan rendah akibat situasi wabak dan ekonomi semasa.

Jikalau kerajaan negeri menolak atas faktor teknikal, saya juga mengajak kerajaan Johor agar mempertimbangkan kembali usul khas berkenaan dengan membaca bersekali Seksyen 9 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang membenarkan kerajaan negeri memberi arahan kepada kerajaan tempatan bagi melaksanakan dasar negeri.

Sehubungan itu, hujah menteri besar bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa adalah meleset sama sekali kerana akta yang sama juga memerlukan kerajaan negeri membenarkan kerajaan tempatan menetapkan kadar cukai harta bawah Seksyen 127.

Lantaran itu, kerajaan negeri berhak meminta kerajaan tempatan untuk mengurangkanatau mengecualikan cukai harta rumah kos rendah melalui peruntukan undang-undangdi atas semasa belanjawan mereka diserahkan untuk kelulusan kerajaan negeri.

Sebagai pencerahan, dasar pengecualian bayaran lesen penjaja semasa pentadbiran Pakatan Harapan di negeri Johor hampir dua tahun lalu.

Contoh lain yang boleh dirujuk seperti pengecualian bayaran lesen perniagaan semasa pentadbiran Perikatan Nasional dan langkah kerajaan negeri Selangor serta Terengganu yang mengecualikan cukai hartanah perumahan kos rendah melalui pemberian subsidi kepada kerajaan tempatan berdasarkan hasil yang diperoleh, sekali gus tidak memberi kesan kepada perkhidmatan yang disediakan.

Contoh kaedah tersebut jelas membolehkan kerajaan negeri menggunakan kuasa yang diperuntukkan untuk bekerjasama bagi melaksanakan dasar-dasar kerajaan negeri.

Kerajaan negeri Johor berdasarkan jumlah rizab yang meningkat ketara sepanjang tempoh 22 bulan pentadbiran PH - daripada RM700 juta kepada RM3.2 bilion - mampu melaksanakan usul dan dasar tersebut dalam ketidaktentuan ekonomi semasa.

Kerajaan negeri juga boleh menarik kembali dasar berkenaan sebaik keadaan ekonomi pulih seperti sedia kala.

Oleh itu, saya menyeru menteri besar dan exco yang bertanggungjawab untuk mengemudi rundingan membabitkan 16 kerajaan tempatan bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah yang terendah pada ketika ini.

Kerenah teknikal hanya sekadar alasan yang tidak menyelesaikan permasalahan rakyat.


TAN HONG PIN ialah setiausaha DAP Johor merangkap Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Skudai.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.