Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Didakwa langgar kuarantin, wakil PN gesa tindakan pada Prabakaran

Beberapa anggota parlimen Perikatan Nasional (PN) hari ini mendesak anggota Parlimen Batu, P Prabakaran dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen selepas didakwa melanggar pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) Khamis lalu dan hadir ke Dewan Rakyat.

Anggota Parlimen Arau Shahidan Kassim (BN) berkata sekiranya Prabakan melanggar perintah kuarantin, ia membahayakan kepada ahli-ahli parlimen lain yang hadir di Dewan Rakyat.

“Ini merupakan pelanggaran syarat yang luar biasa, maka saya minta Speaker sendiri merujuk dia kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana hukuman daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah berlainan,” katanya.

Perkara itu disokong oleh beberapa anggota parlimen PN termasuk anggota Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun berkata dia perlu meneliti perkara itu terlebih dahulu.

Terdahulu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN-Putrajaya) dan Datuk Seri Dr Santhara (Bersatu-Segamat) meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat mengenai tindakan yang patut diambil terhadap Prabakaran dan menyemak sesi pengundian yang dilakukan pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, Azhar menjelaskan tindakan menghukum atau mengkompaun mana-mana individu yang melanggar perintah KKM atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) bukan di bawah kuasa beliau.

Katanya, dia juga tidak menyedari sekiranya Prabakaran melanggar perintah kuarantin itu minggu lepas.

"Pada Khamis itu, saya tak sedar terjadi. Selepas semak senarai undi kita Yang Berhormat (Prabakaran) telah undi.

"Seperti mana saya katakan kuasa untuk menghukum atau kompaun sesiapa yang langgar perintah MKN, KKM mengenai Covid-19 bukan di bawah kuasa saya.

"Sesiapa nak bawa perkara ini saya nasihatkan buat laporan kepada pihak berkuasa," katanya.

Khamis lepas, Prabakaran dikatakan menyertai perbahasan dan pengundian Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), walaupun telah diarah menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).