Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SPRM terima hampir 4,000 laporan selama 7 bulan PKP

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima 3,919 laporan yang berkaitan dengan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan rasuah oleh pegawai awam yang bertugas dalam tempoh perintah kawalan pergerakan dari bulan Mac hingga September.

Dari angka tersebut, jumlah laporan tertinggi diterima pada bulan Julai dengan 962 kes, sementara Mei mencatat jumlah terendah dengan 275 kes.

Terdapat 510 laporan yang diserahkan pada bulan Mac, 279 pada bulan April, 758 pada bulan Jun, 542 pada bulan Ogos, dan 593 pada bulan September.

Perkara itu dimaklumkan melalui jawapan bertulis dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan kepada Teresa Kok (PH-Seputeh).

Takiyuddin bagaimanapun tidak memberikan perincian lebih lanjut mengenai jenis laporan yang dibuat kepada SPRM.

Pada bulan Ogos, SPRM menahan sembilan kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan seorang peniaga sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung dakwaan pengambilan rasuah sebagai pertukaran untuk melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh.

Pada masa itu, pemilik rangkaian gerai burger yang menggunakan nama "Asri Janggut" di Facebook, merakam video yang menunjukkan dia memandu di sekitar Sungai Buloh sambil mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap tempat judi.

Asri bertindak demikian selepas kesal dengan MBSA yang merampas salah satu gerainya yang menurutnya terletak di kaki lima yang tidak menghalang laluan.

Pada peringkat awal PKP, ada juga laporan berita mengenai suspek yang ditangkap oleh SPRM kerana didakwa cuba memberi rasuah kepada pihak berkuasa yang bertugas.