Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis tahan suami isteri miliki senapang AK47

Polis Kelantan menahan sepasang suami isteri kerana memiliki senapang jenis Rifel AK47 serta 142 peluru.

Senjata api itu juga dipercayai pernah digunakan untuk menembak mati dua ekor gajah liar di Kuala Krai, dua tahun lalu.

Pasangan yang masing-masing berusia 50 tahun itu, ditahan sepasukan anggota dan pegawai D8 dan D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, sekitar jam 3.10 pagi, kelmarin, di Kuala Krai.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat berkata, dalam serbuan itu anggota polis menemui selaras Rifel AK47 bersama kelopaknya dan 142 biji peluru hidup jenis 12 Bore 5.56 milimeter.

Menurutnya, suspek lelaki mengaku sebagai pemilik senapang itu dan memberi alasan senjata api itu digunakan untuk menjaga tanaman.

"Siasatan mendapati, suspek pernah menggunakan senapang itu untuk menembak mati dua gajah liar yang menganggu di kebun getahnya seluas enam hektar.

"Suspek dipercayai mendapat senjata api itu daripada seorang rakannya yang tinggal di Tanah Merah lima tahun lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Mengikut keterangan suspek kata Shafien, kali terakhir suspek menggunakan senapang itu untuk menembak mati dua ekor gajah tersebut dua tahun lalu dan selepas itu tiada lagi gangguan gajah terhadap tanamannya.

"Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula kelmarin sehingga Sabtu depan bagi siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," katanya.