Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Top Glove sahkan kematian pekerja berusia 29 tahun akibat Covid-19

Syarikat pengeluar sarung tangan getah Malaysia, Top Glove mengesahkan salah seorang pekerjanya - Yamnarayan Chaudhary Tharu - meninggal dunia akibat Covid-19.

Perkembangan ini hadir ketika 5,450 jangkitan telah dikesan melalui Kluster Teratai, yang kebanyakannya pekerja di kilang syarikat itu. Kluster jangkitan itu merupakan kluster aktif terbesar di seluruh negara.

Syarikat gergasi itu juga sebelum ini dikecam atas dakwaan tidak mematuhi piawaian minimum asrama pekerjanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Top Glove mengesahkan bahawa Tharu meninggal dunia Sabtu lalu (12 Dis).

“Yamnarayan Chaudhary Tharu, berusia 29, dari Nepal, meninggal dunia akibat radang paru-paru Covid-19 dengan fibrosis paru-paru.

"Tharu telah bekerja di kilang pembuatan Top Glove di Meru, Klang selama lebih dari dua tahun.

"Top Glove mengucapkan simpati dan takziah kepada keluarga dan orang tersayang mendiang dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk urusan pengebumian Tharu," katanya.

Syarikat itu menambah bahawa pembayaran belas ihsan akan diberikan kepada saudara terdekat Tharu.

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan kematian seorang lelaki bukan warganegara Malaysia berusia 29 tahun di Hospital Sungai Buloh akibat virus itu.

Pesakit itu tidak disebutkan sebagai mempunyai keadaan sejarah penyakit kronik. Dia merupakan kematian ke-415 dan merupakan pesakit kes 55,965.

Kementerian biasanya tidak mendedahkan maklumat peribadi pesakit Covid-19.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Tharu bekerja sebagai pengawal keselamatan di Top Glove di salah sebuah kilang di Meru, Klang.

Dia dikatakan dimasukkan ke hospital pada 21 November, kira-kira tiga minggu sebelum kematiannya.

Tenaganita mahu Top Glove bertanggungjawab

Kumpulan hak pekerja warga asing, Tenaganita menyatakan rasa kesal susulan kematian Tharu yang menurutnya boleh dicegah.

Justeru, pengarah eksekutif NGO itu, Glorene Das menggesa kerajaan mengambil tindakan yang lebih keras terhadap Top Glove atas kehilangan nyawa.

"Mereka mungkin syarikat berpendapatan tertinggi di Malaysia tetapi kami harap mereka bertanggung jawab atas semua pelanggaran mereka termasuk kematian pengawal keselamatan yang menyedihkan.

"Siasatan dan denda atau kompaun tidak mencukupi untuk bentuk pelanggaran ini. Kerajaan mesti mengambil hukuman yang lebih keras terhadap syarikat itu. Syarikat itu tiada apa-apa tanpa pekerja mereka,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Das sangat prihatin dengan keadaan kerja di syarikat yang tersenarai Bursa Malaysia itu.

"Kejadian ini dapat dicegah jika Top Glove meletakkan pekerja mereka sebagai keutamaan dan bukannya semata-mata sebagai alat untuk mendapatkan keuntungan.

"Sangat menakutkan membaca apa yang telah berlaku di syarikat itu mengenai pekerja mereka, bukan hanya pekerja warga asing tetapi juga pekerja tempatan, namun mereka terus beroperasi seperti biasa, ”katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Kementerian Sumber Manusia untuk mendapatkan ulasan.

Top Glove, yang sering digelar pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia, memperoleh keuntungan bersih bernilai RM2.38 bilion antara 1 September dan 30 November tahun ini.

Ini adalah kira-kira 20 kali ganda daripada keuntungan RM111.43 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Namun, syarikat itu menjadi tumpuan selepas didakwa membiarkan asrama dalam keadaan kotor dan sesak.

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia sejak itu membuka 19 kertas siasatan terhadap syarikat itu kerana didakwa melanggar Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Kastam dan Perlindungan Sempadan AS sebelum ini mengenakan sekatan ke atas eksport dari pengeluar sarung tangan tersebut dengan alasan kebimbangan mengenai keadaan perumahan pekerjanya.

Top Glove sejak itu mengakui kesalahannya dan berjanji akan membelanjakan RM170 juta untuk membina tempat tinggal yang lebih baik untuk 21,000 pekerjanya - kebanyakannya adalah warga asing.