Giliran MP Kimanis nafi tandatangan SD sokong Anwar
Ahli Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin menafikan dirinya antara 10 MP Umno yang didakwa telah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Jelasnya, selaku seorang peguam dia menyedari risiko dan kesan menandatangani sesuatu SD.
"Sebagai seorang peguam saya faham akan kesan dan niat sesuatu SD itu dibuat.
"Justeru, saya ingin menyatakan seperti berikut, bahawa saya menafikan telah menandatangani SD dengan niat menyokong Anwar sebagai perdana menteri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu portal berita Astro Awani melaporkan 10 ahli parlimen Umno telah menandatangani SD menyokong Anwar.
10 ahli parlimen yang dikaitkan menyokong Anwar termasuklah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, bekas perdana menteri, Najib Razak, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz serta Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah.
Susulan berita itu, Setiausaha Agung BN Annuar Musa meminta wakil rakyat yang dikaitkan dengan tuduhan itu supaya tampil membuat penjelasan ataupun membuat laporan polis.
Kemudian, Mohd Shahar tampil menafikan perkara itu, menegaskan dia berpegang kepada prinsip "no DAP, no Anwar".
Turut dilapor menafikan berita itu Bung Moktar yang juga ahli parlimen Kinabatangan dan MP Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman.
Terdahulu dilaporkan Anwar bakal mendapatkan perkenan menghadap Agong bagi mempersembahkan perakuan bersumpah (SD) yang diperolehinya.
Ia segera menarik perhatian kerana sebelum itu Annuar Musa mengesahkan memang ada gerakan menarik ahli parlimen Umno agar memberikan sokongan kepada Anwar.
Bagaimanapun, hari ini sumber dalaman PH berkata laporan yang mengatakan Anwar memperoleh sokongan daripada 10 ahli parlimen Umno itu adalah palsu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai