Peminat basikal tak ke jalan raya semasa waktu puncak
Pengayuh basikal biasanya tidak melakukan aktiviti mereka pada waktu puncak dan sentiasa memilih masa yang sesuai untuk menjalankan kegiatan berkenaan, kata Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF).
Bagaimanapun naib presidennya Mohd Saiful Abdul Jalil mengaku pada waktu tertentu masih ada pengayuh yang melakukan kesalahan seperti dari segi pemilihan laluan.
"Biasanya kami melakukan aktiviti (berbasikal) apabila semua (orang) dah pergi kerja dan jalan raya tidak sibuk, cuma kemungkinan dari segi pemilihan laluan yang tidak sesuai," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias, menasihati pengayuh basikal supaya berhati-hati memilih laluan dan waktu melakukan aktiviti riadah tersebut.
Jelas Azisman, ia kerana aktiviti berbasikal di jalan raya menjadi trend sesetengah rakyat Malaysia sehingga mendatangkan bahaya kepada penunggang dan pengguna jalan raya yang lain.
Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan menunggang basikal di jalan raya boleh diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Mohd Saiful berkata MNCF memang berharap kerajaan atau agensi penguat kuasa dapat mempergiat kempen keselamatan buat peminat aktiviti berbasikal.
Tambahnya, ini bagi memberi pendedahan kepada mereka mengenai amalan melakukan aktiviti dengan selamat.
“Kalau boleh, kita nak kempen ini (dilakukan) di seluruh Malaysia sebab sekarang ini penunggang basikal baru, mereka tak mahir dengan isyarat tangan dan sebagainya, sebab itu ada yang sewenang-wenangnya guna jalan raya.
“Malah saya rasa kempen kesedaran ini juga boleh beri pendedahan kepada penunggang motosikal,” katanya lagi.
Untuk rekod, pada tahun lalu, statistik kemalangan melibatkan penunggang basikal merekodkan sejumlah 201 kes melibatkan 107 kematian, 35 cedera parah dan 59 cedera ringan.
Dari Jan sehingga Okt tahun ini, sebanyak 137 kes direkodkan dengan membabitkan 56 kematian, 18 cedera parah dan 63 cedera ringan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai