Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ada MP dikuarantin pada minggu akhir undian belanjawan

Beberapa ahli parlimen menjalani perintah kuarantin ketika Dewan Rakyat berdepan dengan minggu terakhir pengundian Belanjawan 2021 bagi peringkat jawatankuasa.

Sekurang-kurangnya dua ahli Parlimen dari blok kerajaan antara yang dikuarantin, dan kemungkinan juga terdapat ahli parlimen dari blok pembangkang.

Dua ahli parlimen kerajaan ialah Menteri Kesihatan Dr Adham Baba (BN-Tenggara) dan Menteri Sumber Manusia M Saravanan (BN-Tapah).

Kedua-duanya menjalani kuarantin selepas mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad dalam ciapan di Twitter berkata terdapat ahli parlimen dari pembangkang turut menjalani kuarantin.

Bagaimanapun, ketika dihubungi Noor Amin mengatakan dia tidak pasti berapa jumlah ahli parlimen pembangkang yang sedang menjalani kuarantin.

Terdapat lima lagi peruntukan kementerian dijadualkan untuk dibahas pada minggu depan dan kehadiran ahli parlimen dianggap kritikal untuk menentukan sama ada ia melepasi peringkat jawatankuasa atau sebaliknya.

Bacaan kali ketiga pula dijangka pada Rabu.

Tulis surat minta izin

Sebelum ini antara undian belah bahagi paling sengit ialah untuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri apabila ia diluluskan dengan kelebihan enam undi saja.

Seramaio 110 ahli parlimen menyokong berbanding 104 menentang, manakala dan enam lagi tidak berada di dalam Dewan Rakyat.

Bagaimanapun berdasarkan ciapan Noor Amin ada kemungkinan beberapa ahli parlimen yang dikuarantin itu akan tetap dibenarkan menghadiri sidang parlimen minggu depan.

“Baru bercakap dengan speaker (Dewan Rakyat). Pejabat beliau dimaklum beberapa MP dapat surat arahan kuarantin daripada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

“Beliau akan tunggu keputusan DG (Ketua Pengarah Kesihatan) sama ada mereka ini boleh hadir mengundi atau tidak. Ahli-ahli parlimen ini ada dari kedua-dua pihak - kerajaan dan pembangkang,” ciapnya.

Surat Setiausaha Dewan Rakyat kepada ahli-ahli parlimen yang dilihat oleh Malaysiakini menyatakan ahli parlimen yang dikuarantin boleh menulis surat kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah untuk meminta izin bagi menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Pada November lalu, Noor Hisham berkata mereka yang diuji negatif Covid-19 dan diarahkan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari boleh memohon kepada KKM untuk memendekkan tempoh tersebut jika mempunyai sebab yang munasabah.

"Jika ujian adalah negarif, atau mereka tiada menunjukkan simptom dan penilaian risiko mendapati tiada risiko, kita akan mempertimbangkannya," kata Noor Hisham pada Nov lalu.

Permohonan pengecualian itu akan dinilai oleh sebuat jawatankuasa dan kuasa untuk memberi pengecualian dibuat selaras dengan Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Ketika pilihan raya Sabah, mereka yang menjalani tempoh kuarantin di rumah juga diizinkan untuk mengundi di kawasan pengundian khas dengan pengawasan pegawai kesihatan.

[Baca berita penuh]