Jakim akan buat pertemuan dengan pendakwah selebriti
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan pertemuan dengan pendakwah selebriti pada penghujung bulan ini bagi menyampaikan mesej harmoni kerajaan selain menjaga nama baik golongan agamawan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata pertemuan itu juga bagi mendapatkan input, khususnya dalam penyampaian dakwah menerusi status “selebriti”.
Sejak kebelakangan ini timbul beberapa isu dan disensasikan, sekali gus memberi imej yang tidak baik kepada Islam sekalipun yang terlibat hanyalah segelintir sahaja, katanya ketika ditemui di Majlis Sumbangan Musaadah Nelayan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang, di Kota Bharu hari ini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu melibatkan seorang peserta program realiti televisyen bercorak dakwah yang terpalit dengan dakwaan serangan seksual.
"Kita tahu walaupun kes seumpama ini adalah kes terpencil, apabila melibatkan golongan pendakwah sudah pasti memberi imej yang tidak baik terutamanya kepada agama Islam," tambahnya.
Terdahulu, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa menyampaikan sumbangan kepada 250 nelayan di kawasan itu yang terjejas pendapatan kerana tidak dapat turun menangkap ikan di laut pada musim tengkujuh.
Menurutnya bantuan serupa akan turut diagihkan kepada nelayan dan petani di dua lagi DUN iaitu Panchor dan Chempaka, juga di kawasan Parlimen Pengkalan Chepa, walaupun dikategorikan sebagai nelayan sungai dan petani.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai