Hanya tiga kementerian ada kakitangan OKU lebih 1% - Ras Adiba
Hanya tiga kementerian mempunyai jumlah kakitangan Orang Kurang Upaya (OKU) melebihi satu peratus seperti yang ditetapkan menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 16 Tahun 2010, kata Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Ras Adiba Radzi.
Beliau berkata kementerian berkenaan ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan 1.87 peratus, diikuti Kementerian Pertahanan (1.32 peratus) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan 1.07 peratus penjawat awam OKU.
Sehubungan itu, Ras Adiba yang mewakili komuniti OKU di Dewan Negara tersebut berharap kementerian lain akan memberi lebih banyak peluang kepada golongan berkenaan untuk bekerja dalam sektor awam kerana mereka juga mampu berkhidmat untuk negara.
“Hanya tiga kementerian yang mempunyai kakitangan OKU yang melebihi satu peratus seperti yang ditetapkan dan saya berharap kementerian lain dapat membuka peluang kepada golongan ini sekurang-kurangnya mengikut ketetapan satu peratus berkenaan,” katanya selepas program penyampaian sumbangan daripada OKU Sentral dengan kerjasama Kumpulan Jakel kepada kira-kira 300 penerima di Kampung Sungai Udang secara pandu lalu, di Klang hari ini.
Setakat Jun 2019, jumlah pengisian OKU dalam perkhidmatan awam ialah seramai 3,686 pegawai bersamaan 0.29 peratus.
Ras Adiba yang juga Presiden OKU Sentral berkata pihaknya dan rakan-rakan yang lain akan terus berusaha untuk memastikan ketetapan berkenaan dapat dicapai.
Sementara itu seorang penerima sumbangan, Nurul Aniza Razali, 33 berkata dia amat berterima kasih kepada OKU Sentral atas sumbangan pelbagai barangan keperluan harian untuk kegunaannya dan anak perempuan tunggal, Nur Auni Faiqa Mohd Faizal yang mengidap palsi serebral sejak lahir.
Ibu tunggal yang kematian suami akibat kemalangan lima tahun lepas itu berkata dia hanya bergantung pada pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah suaminya bagi tujuan perbelanjaan.
Aminah Abdullah, 49, pula berkata sumbangan yang diberikan oleh OKU Sentral banyak membantu keluarganya yang mengalami kemerosotan pendapatan akibat Covid-19.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, suami saya tidak lagi boleh melakukan kerja lebih masa di bengkel besi tempat dia bekerja kerana kekurangan tempahan, jadi pendapatan kami berkurangan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan berbanding sebelum Covid-19,” katanya.
Ibu kepada empat anak berusia enam hingga 23 tahun tersebut berkata anak bongsunya Muhammad Yunus Mohd Din yang menghidap sindrom Down memerlukan perbelanjaan tinggi dan kekurangan pendapatan keluarga secara langsung menjejaskan kemampuan menampung keperluan anaknya itu.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai