Rina: 8,000 jawatan kontrak JKM dibuka tahun depan
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menambah sebanyak 8,000 perjawatan kontrak untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun depan, kata Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Beliau berkata ini selaras dengan penstrukturan semula JKM yang bertujuan meringankan beban kakitangan sedia ada bagi memastikan perkhidmatan terhadap rakyat dapat diperkasakan.
“Kita akan tambah kakitangan kontrak JKM sebagai permulaan.
“Pada masa sama dapat beri peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan pekerjaan ketika berhadapan situasi getir pandemik Covid-19,” katanya selepas penyerahan sumbangan kepada 30 mangsa banjir kilat di Kampung Datuk Keramat, di Kuala Lumpur hari ini.
KPWKM sebelum ini dilapor sedang menstrukturkan semula JKM melibatkan seluruh kakitangan, pentadbiran dan pengurusan.
Pada pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dengan 8,000 akan diperuntukkan kepada KPWKM.
Memperincikan perkara itu, Rina berkata selain kakitangan kontrak, pihaknya turut bercadang menambah jumlah Pelindung Kanak-Kanak dan Pegawai Akhlak JKM.
“Penstrukturan ini bertujuan memastikan setiap pegawai menjalankan tugas spesifik dan tidak terbeban,” katanya.
Selain itu, Rina turut mengalu-alukan penyertaan masyarakat sebagai sukarelawan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang.
“Konsep #kitajagakita tidak terpakai dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sahaja, tetapi terpakai dalam mensejahterakan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata KPWKM juga merancang untuk mewujudkan pusat sehenti golongan wanita yang memainkan peranan sebagai rumah perlindungan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai