Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MP Klang cadang dana subsidi sewa bantu usahawan PKS terjejas

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mencadangkan supaya kerajaan memberikan subsidi kepada perusahaan kecil sederhana (PKS) untuk kos sewa mereka agar mereka dapat bertahan ketika pandemik Covid-19 ini.

Dengan menamakan bantuan tersebut sebagai “Rental Relief Fund,” dia menggesa supaya Putrajaya membenarkan usahawan PKS yang sedang bergelut dengan situasi ekonomi Covid-19 ini dapat memohon sehingga RM8,000 sebulan selama enam bulan untuk menanggung pembiayaan kos sewa mereka.

Bercakap ketika sidang media dalam talian pagi tadi, dia mengatakan idea dana itu datang dari perbualannya dengan pemilik perniagaan yang sedang bergelut dengan situasi semasa.

“(Ketika) berbual dengan mereka, apa yang kita nampak dengan jelas adalah mereka berdepan dengan kesukaran membayar sewa. Ini kerana (kos) sewa merupakan 20 hingga 30 peratus daripada kos operasi mereka [...]

“Dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan PKP bersyarat (PKPB), perniagaan mereka menurun dengan mendadak [...] ini adalah salah satu masalah yang perlu kita teliti dan kita perlu meminta kerajaan supaya menyokong dana ini,” katanya.

Sambil mengingatkan bahawa PKS menyumbang 98.5 peratus terhadap ekonomi domestik, Charles berkata mereka tidak akan dapat bertahan untuk terus beroperasi tanpa sebarang bantuan diberikan, memandangkan kuasa membeli masih rendah.

Tambahnya, dia dijadualkan bertemu dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada hari Isnin (14 Dis) mengenai cadangannya itu.

Ahli parlimen DAP itu juga berhasrat untuk mengemukakan cadangan itu di Dewan Rakyat minggu depan ketika kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Covid-19) 2020 untuk bacaan kedua.

RUU itu mencadangkan supaya tambahan sebanyak RM20 bilion dari wang pembayar cukai diperuntukkan bagi bantuan perbelanjaan Covid-19.

"Kami meminta seperti RM1bilion sebagai sebahagian daripada sokongan untuk pelepasan sewa," tambahnya.

Peniaga harap bantuan sewa

Enam wakil dari pelbagai industri yang turut bersama dalam sidang media itu juga menyokong cadangan dana bantuan sewa tersebut.

Pemilik tunggal Diccam Lourdes berkongsi bagaimana dia menggunakan simpanannya dan keluarganya untuk memastikan perniagaan pakaiannya di Kuala Lumpur terus bertahan.

Walaupun selepas memberhentikan dua dari lima pekerjanya dan meminjam wang dari “ah long” (peminjam wang tidak berlesen), dia masih tidak mampu membayar sewa RM32,000 yang tertunggak.

"Perniagaan kami bergantung pada majlis - perkahwinan, ulang tahun dan acara korporat ... tidak banyak orang yang menghadiri majlis sekarang dan tidak banyak pesanan.

"Terdapat pengurangan pesanan sebanyak 70 peratus, jadi apa pun perniagaan (yang kita dapat) hanya cukup membayar kakitangan saya," kata Lourdes, sambil menambah bahawa dia harus menutup perniagaannya pada akhir bulan ini sekiranya dia gagal membayar sewa .

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura, Ho Su Mong berkata, beberapa ahlinya mengalami penurunan jualan sebanyak 60 peratus dan kesukaran paling utama mereka adalah untuk membayar sewa.

Katanya, daripada 3,000 daripada 20,000 ahlinya telah menutup kedai kopi sejak PKP pertama kali dilaksanakan.

Pengerusi Persatuan Pendandan Rambut Malaysia, Michael Poh juga memberi amaran bahawa banyak salun dan kedai gunting rambut berisiko akan ditutup di mana antara sebahagian faktornya kerana tidak dapat membayar sewa.

"Tanpa bantuan sewa, saya rasa 50 peratus perniagaan industri rambut kita akan menutup kedai mereka. Setakat ini sahaja, ia sudah meningkat hingga 30 peratus,” katanya.

Bantuan sedia ada tidak cukup

Pengerusi Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia, T Muthusamy berpendapat bahawa bantuan sewa diperlukan walaupun terdapat inisiatif kerajaan sedia ada seperti subsidi upah dan pelepasan cukai bagi pemilik premis yang mengurangkan sewa penyewa.

Dia berkata tidak semua usahawan PKS memenuhi syarat untuk insentif tersebut, sambil memberi contoh bagaimana restoran yang menggaji pekerja asing tidak layak mendapat subsidi upah tersebut.

Setiausaha Agong Persatuan Perubatan Malaysia, Dr R Thirunavukarasu berpendapat dengan dana bantuan sewa, bantuan itu akan disasarkan kepada PKS yang terjejas dan mereka tidak perlu bergantung kepada pemilik premis untuk mengurangkan sewa.