Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

M'sia ekstradisi penyeludup penyu warga China untuk didakwa di mahkamah AS

Seorang lelaki warganegara China, yang dituduh membiayai penyeludupan penyu ke luar negara dari AS, telah diekstradisi dari Malaysia.

Menurut Jabatan Kehakiman AS, suspek yang berusia 24 tahun secara haram telah membeli sekurang-kurangnya 1,500 penyu yang dilindungi bernilai AS$2.25 juta, dan telah diseludup keluar.

Pembayaran dilakukan melalui PayPal untuk membeli pelbagai spesies penyu dari penjual di AS, yang kemudian akan menghantar penyu tersebut kepada orang tengah - biasanya warga China yang memegang visa pelajar.

Orang tengah itu kemudian akan membungkus semula penyu itu dalam kotak dengan label palsu, dan menghantarnya ke Hong Kong.

"Penyu itu diikat secara kejam dengan pita pelekat dan diletakkan di dalam stoking agar agar tidak diketahui pihak berkuasa," kata DOJ dalam satu kenyataan hari ini.

Penyu itu kemudian akan dijual di pasaran gelap.

Spesise penyu yang dijual itu dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Liar dan Flora Terancam (Cites), yang ditandatangani oleh AS, China, dan Malaysia.

Suspek ditangkap oleh polis Malaysia pada Januari 2019 berikutan permintaan AS.

Proses ekstradisi selesai di mahkamah pada bulan September tahun ini, dan suspek diserahkan pada hari Rabu.

Suspek akan didakwa kerana pengubahan wang haram.