Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pelonggaran kawalan pergerakan: Adakah pihak berkuasa sependapat?

Kenyataan dan pesanan rasmi yang tampak bertentangan berkenaan tata kelakuan ketika wabak Covid-19 membayangkan pihak berkuasa mungkin tidak sepenuhnya sependapat berhubung pelonggaran perintah kawalan pergerakan.

Satu petunjuk jelas ialah pelonggaran terhadap larangan himpunan, yang kini dibenarkan di semua kawasan dan negeri kecuali Sabah, sebahagian besar Selangor dan beberapa kawasan di negeri lain.

Menurut garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk negeri di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang dikeluarkan pada 7 Dis, perhimpunan sosial dibenarkan dengan syarat peserta mengamalkan penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan tentang kluster-kluster baru yang berpunca daripada majlis keraian dan menggesa orang ramai untuk sentiasa berhati-hati.

Dia menyenaraikan beberapa kluster tersebut dan berkata banyak perhimpunan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Sebagai contoh kluster Enggor di Perak serta kluster Indah Mas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang bermula dengan perhimpunan keluarga dan seterusnya telah merebak dalam komuniti," katanya.

Noor Hisham

Katanya lagi, kluster Inai dan kluster Jambul di Sabah adalah antara kluster yang berpunca daripada majlis keraian manakala kluster Mentari yang melibatkan Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur bermula daripada upacara keagamaan yang membabitkan ahli keluarga serta kenalan yang hadir dalam satu upacara kematian di Nilai, Negeri Sembilan.

Semua kluster ini bermula ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), iaitu ketika perhimpunan awam masih dilarang.

"Penjarakkan fizikal sememangnya sukar diamalkan di kawasan yang sesak dan sempit, namun mengambil iktibar daripada kejadian kluster-kluster ini," katanya.


Ismail Sabri jelaskan beza antara PKPB dan PKPP


Pada masa ini, walaupun perhimpunan dilarang di kawasan yang dikenakan PKPB, penduduk boleh merentas sempadan dengan mudah untuk menghadiri acara keramaian.

Misalnya Genting Highlands dan Janda Baik di Pahang, yang memakan masa hanya sejam perjalanan dari Kuala Lumpur.

Dua destinasi percutian popular warga Lembah Klang ini terletak di daerah Bentong, yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19.

Kluster terbesar di sana, iaitu kluster Jalan Genting, dikesan bermula dengan seorang individu di Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Sabtu lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata keperluan untuk merancakkan semula ekonomi adalah sebab utama SOP baru itu, yang juga termasuk pembatalan sekatan perjalan kecuali bagi kawasan yang dikenakan PKPD.

Ismail Sabri

Sekiranya PKPB diteruskan, KDNK negara akan kehilangan RM300 juta sehari, katanya.

Bagaimanapun, pemansuhan itu dilihat bertentangan dengan pesanan yang sering diberikan pihak berkuasa kesihatan berkenaan melindungi zon hijau Covid-19.

Kebebasan untuk merentas daerah dan negeri juga bermakna mereka yang tinggal di kawasan yang mencatatkan banyak kes positif di negeri di bawah PKPB boleh ke kawasan yang secara relatifnya bebas Covid-19.

Bulan lalu, Noor Hisham berkata PKPB - yang membataskan pergerakan - diperlukan bagi melindungi zon hijau.

Ia bukan satu-satunya peringatan Noor Hisham berkenaan melindungi zon itu. Dia juga meminta mereka yang tinggal di kawasan bandar, di mana penularan agak tinggi, untuk tidak pulang ke kampung halaman bagi mengelakkan risiko penularan di kalangan keluarga.

'Ikut sunnah - kekal di rumah'

Dalam sidang media pada Rabu, Noor Hisham menasihati orang ramai untuk patuh SOP ketika dalam perjalanan.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga memantau kesan pelonggaran yang dibuat. Dia berkata jika bilangan kes positif meningkat di luar jangkaan, pihak berkuasa perlu memikirkan semula strategi yang digunakan.

Pagi semalam pula, dia memberi peringatan daripada perspektif Islam menerusi laman Facebooknya,

"Larangan perjalanan adalah ajaran Nabi," katanya sambil memetik hadis yang melarang umat Islam ke kawasan yang ada penularan wabak, serta mereka yang tinggal di sana untuk keluar darinya.

"Duduk di rumah (juga) ajaran Nabi," katanya dalam hantaran itu.

The Government has allowed nationwide interstate and interdistrict travel from 7th december 2020, hence the onus is on...

Posted by Noor Hisham Abdullah on Rabu, 9 Disember 2020

Pada 9 Dis lalu, MKN juga menasihati orang ramai untuk duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar.

Bagaimanapun, dua hari sebelumnya, laman Facebook sama menyiarkan SOP baru yang membenarkan kegiatan sukan, sosial dan rekreasi di kawasan di bawah PKPP.

'Kami hanya boleh nasihat'

Sementara itu, sumber memberitahu Malaysiakini berkata ada beberapa keputusan yang dibuat tidak selaras dengan syor yang diberikan KKM.

Dia yang enggan mendedahkan namanya itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkenaan keputusan itu, dengan berkata "kuasa membuat keputusan bukan di tangan kami".

Malaysiakini diberitahu pegawai kesihatan memantau kes positif harian secara berwaspada, terutama di Lembah Klang.

Bagaimanapun, pelonggaran sekatan perjalanan bukan satu-satunya hal yang menjadi kebimbangan mereka.

Seorang sumber berkata keadaan di Lembah Klang boleh menjadi lebih buruk daripada Sabah jika empat faktor utama tidak ditangani.

Faktor tersebut ialah penularan di kalangan pekerja asing tanpa dokumen, keadaan kerja dan tempat tinggal pekerja asing, penularan di pusat tahanan (termasuk penjara) dan orang ramai yang tidak patuh SOP.

Kata sumber KKM itu, penularan di Sabah berlaku dengan tiga faktor secara serentak. Satu-satunya faktor yang tidak menyumbang kepada peningkatan kes di negeri itu adalah penularan di kalangan pekerja asing tanpa dokumen.

"Bagaimanapun, di Lembah Klang, kita mungkin ada keempat-empat faktor. Jika ini berlaku, kita boleh lihat jumlah (kes positif) mencanak.

"Ia perlu ditangani melalui usaha bersama semua agensi terlibat," katanya.

Berhubung langkah yang perlu diambil, setelah mengambil kira SOP baru, sumber mencadangkang agar kerajaan lebih cepat menguatkuasakan PKPD di kawasan yang merekodkan kes yang tinggi.

[Baca berita asal]