Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Keganasan: Wujudkan sokongan sosial terhadap wanita

ULASAN | Seringkali persekitaran kita didedahkan mengenai isu yang bertentangan dengan sifat fitrah manusia yang sukakan kebaikan, antaranya keganasan terhadap wanita.

Perilaku yang ‘tidak sihat’ itu menjadikan suasana tidak ceria serta mendatangkan pelbagai kesan yang negatif dan berpanjangan kepada mangsa yang terlibat.

Apabila keadaan itu terjadi, masyarakat perlu menjalankan sikap peduli dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Namun, sejauh mana ia dapat ditangani dengan sebaiknya? Ini kerana lebih ramai yang mengambil sikap berdiam diri daripada mendapatkan pembelaan yang sewajarnya.

Sebagaimana kata Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh ketika merasmikan Program Webinar ‘Wanita Disayangi Bukan Dikasari’ pada 5 Disember baru- baru ini:

“Apabila wanita yang diiktiraf kedudukannya dizalimi, dikasari dan dipandang hina, bermakna kita bakal merosakkan sebahagian besar masyarakat yang akan melahirkan generasi buat negara.”

Sedarkah kita dengan isu ini? Wanita disayangi bukan dikasari. Barangkali sebelum ini kita tidak merasa terpanggil untuk menjadi pembela atau penyelamat kepada situasi yang terjadi. Namun, seharusnya setiap kita lebih peka dengan keadaan ini untuk hari-hari yang akan datang dan seterusnya.

Menjadi peranan kita untuk sentiasa mengharmonikan persekitaran tanpa berlakunya jenayah ini terhadap wanita. Memang ia akan berterusan terjadi apabila sikap mangsa dan masyarakat yang tidak kisah dengan situasi ini.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 2014, sebanyak 2,874 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan, sebanyak 4,123 kes berlaku pada tahun 2013 dan sebanyak 3,488 kes dilaporkan pada tahun sebelumnya.

Bagi tempoh tersebut, purata kes keganasan rumah tangga yang mangsanya adalah wanita adalah sebanyak 3,103 pada 2015. Manakala, ketika pandemik COVID-19, kes keganasan kepada golongan ini dari Mac 2020 hingga kini dilaporkan semakin meningkat angkanya.

Keganasan yang perlu dihapuskan

Keganasan terhadap wanita adalah istilah yang umumnya digunakan untuk merujuk kepada tindakan kekerasan yang dilakukan secara sengaja atau dirancang terhadap wanita dan ia merupakan salah satu pelanggaran hak asasi manusia yang paling meluas dan berterusan dilakukan dalam masyarakat.

Walaupun kejadian keganasan ini berbeza-beza dari masa ke masa, bahkan hari ini berlainan antara masyarakat. Keganasan ini sering dilihat sebagai mekanisme untuk menundukkan wanita, baik dalam masyarakat mahupun dalam hubungan peribadi.

Keganasan ini mungkin timbul daripada perasaan berhak, berkuasa atau misogini yang mana ia merupakan salah satu bentuk ekstrem daripada sudut ideologi seksis. Secara spesifiknya, ia menyatakan kebencian yang dahsyat kepada wanita baik secara individu mahupun kelompok, atau sikap yang sama terhadap pelaku, terutamanya wanita.

Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita menyatakan bahawa keganasan terhadap wanita adalah manifestasi daripada hubungan kekuasaan yang tidak setara antara lelaki dan wanita dan keganasan terhadap wanita adalah salah satu mekanisme sosial kritikal yang mana wanita terpaksa tunduk dengan kehendak lelaki dengan cara yang tidak sepatutnya.

Mantan Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan menyatakan dalam laporan yang diterbitkan pada tahun 2006 di laman web UNIFEM:

“Keganasan terhadap wanita dan gadis adalah masalah perkadaran pandemik. Sekurang- kurangnya satu daripada tiga wanita di seluruh dunia telah dipukul, dipaksa melakukan hubungan seks atau didera selama hidupnya dengan pendera yang biasanya dikenali oleh mereka.”

Manakala PBB mendefinisikan keganasan terhadap wanita sebagai setiap serangan terhadap wanita yang menyebabkan bahaya fizikal, seksual atau psikologi kepada wanita, dan juga termasuk ancaman serangan, tekanan atau perampasan kebebasan sewenang- wenangnya, ia berlaku dalam konteks kehidupan manusia.

Deklarasi Antarabangsa Menentang Segala Bentuk Keganasan Terhadap Wanita yang dikeluarkan pada tahun 1993 juga menyatakan bahawa "Keganasan ini mungkin dilakukan oleh penyerang daripada kedua-dua jantina, ahli keluarga atau yang berdekatan dengan mereka sendiri.”

Berikutan itu, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh dunia berusaha untuk memerangi keganasan terhadap wanita melalui pelbagai program, termasuk resolusi PBB yang menetapkan 25 November setiap tahun sebagai Hari Antarabangsa Untuk Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita.

Sejarah keganasan terhadap wanita tetap sukar didapati dalam literatur ilmiah kerana fakta bahawa banyak jenis keganasan ini khususnya rogol, serangan seksual dan keganasan rumah tangga tidak didedahkan sepenuhnya, yang mana sering disebabkan oleh norma sosial, pantang larang, stigma dan sifat sensitif mengenai isu ini.

Selain itu, diakui secara meluas bahawa kekurangan data yang boleh dipercayai dan berterusan hingga kini adalah halangan untuk membina gambaran yang jelas mengenai keganasan terhadap wanita.

Walaupun sejarah kekerasan terhadap wanita sukar didapati, jelas bahawa banyak keganasan telah diterima, ditoleransi dan diakui secara sah. Sebagai contoh, undang- undang Rom memberi lelaki hak untuk mendisiplinkan isteri mereka, walaupun perbuatan itu sampai kepada tahap kematian.

Begitu juga sejarah keganasan terhadap wanita berkait rapat dengan pandangan sejarah wanita sebagai ‘harta benda dan peranan mereka’ dalam kehidupan. Penjelasan mengenai patriarki, susunan dunia keseluruhan, atau status quo yang mana wujudnya ketidakseimbangan gender, menerangkan skop dan sejarah keganasan terhadap wanita.

Deklarasi PBB Mengenai Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita pada tahun 1993 menyatakan bahawa keganasan terhadap wanita adalah manifestasi daripada hubungan kekuasaan yang tidak setara antara lelaki dan wanita yang telah menyebabkan dominasi dan diskriminasi terhadap wanita oleh lelaki dan menghalang kemajuan wanita sepenuhnya.

Deklarasi itu juga menyebut bahawa keganasan terhadap wanita adalah salah satu daripada mekanisme sosial yang kritis yang mana golongan ini dipaksa untuk melakukan sesuatu berbanding lelaki.

Menurut laporan PBB, "Tidak ada wilayah di dunia, negara atau budaya yang menjamin perlindungan penuh bagi wanita daripada keganasan.” 

Pelbagai jenis keganasan terhadap wanita jelas dilakukan di kawasan-kawasan tertentu di dunia, walaupun di negara-negara membangun.

Apakah masyarakat wajar berdiam diri?

Tentunya tidak, kerana pada lingkungan kita ada wanita. Ibu yang melahirkan, isteri yang setia menerima akad dan ‘anugerah terindah’ yang dikurniakan Allah (anak), juga adalah wanita. Maka, ia tidak boleh dipandang remeh apalagi tidak mengambil sikap peduli.

Realitinya, ketika keganasan terhadap wanita itu berlaku, ia memberi kesan yang sangat mendalam terutamanya dari segi mental dan fizikal hingga menyebabkan pelbagai perkara yang di luar jangka terjadi.

Justeru, usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya wanita terhadap tanggungjawab dalam menangani isu kegansan terhadap diri mereka.

Masyarakat juga perlu mewujudkan sokongan sosial terutama dalam aspek pencegahan, perlindungan dan pemulihan kerana ia memakan waktu untuk mangsa pulih dan kembali kepada dirinya yang asal.

Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan, namun ia perlu digerakkan bagi mencegah serta menyelamatkan mereka yang mengalami situasi tersebut.

Sebenarnya pelbagai cara, solusi dan sokongan bagi mereka yang mengalami tragedi ini antaranya mengetahui akta berkaitan isu keselamatan wanita yang merangkumi hak kepada si mangsa, begitu juga ke mana tempat perlu diadukan serta untuk mendapatkan perlindungan sementara.

Oleh itu, tambahkan ilmu dengan menonton Webinar ‘Wanita Disayangi Bukan Dikasari’ di pautan http://y2u.be/PULyVFT4WqE yang mengupas mengenai isu keganasan terhadap wanita daripada pelbagai perspektif dan cara menanganinya.

Saranan ini diberikan kepada semua agar kita dapat bersama-sama mencegah daripada berlakunya tragedi yang tidak diingini ini dalam lingkungan dan persekitaran kita. Sebelum ia membarah, adalah lebih baik ia dicegah, dirawat dan diperbaiki bersama-sama.


ATRIZA UMAR dari Jabatan Penerangan dan Perhubungan Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.