Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

AGC bantah permohonan Hamid Sultan cabar Jawatankuasa Etika Hakim

Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer bagi mencabar tindakan Jawatankuasa Etika Hakim (JEC) menjalankan prosiding inkuiri terhadapnya secara tertutup.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambali memaklumkan pemberita bahawa bantahan itu dibuat atas alasan permohonan tersebut adalah pramatang dan penyalahgunaan proses mahkamah.

"Kami berhujah bahawa jawatankuasa itu tidak membuat sebarang keputusan muktamad terhadap Hamid Sultan dan permohonan yang dibuatnya adalah pramatang kerana pemohon belum diputuskan melanggar Kod Etika," katanya.

Ahmad Hanir ditemui selepas pendengaran permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya dalam kamar hari ini, yang turut dihadiri peguam Datuk Bastian Vandargon dan Datuk Joy Wilson Appukuttan.

Bastian pula berhujah bahawa JEC telah melangkaui kuasanya dan melanggar prinsip keadilan semula jadi apabila memutuskan untuk mengadakan siasatan terhadap Hamid Sultan.

"Kebenaran bagi semakan kehakiman masih boleh diberikan oleh mahkamah ini meskipun JEC belum mengeluarkan sebarang keputusan muktamad terhadap Hamid Sultan.

"Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menetapkan 21 Jan tahun depan untuk keputusan mengenai permohonan bagi semakan kehakiman itu," katanya.

Appukuttan pula berhujah bahawa permohonan Hamid Sultan untuk menangguhkan sementara prosiding inkuiri JEC telah dilanjutkan sehingga permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu diputuskan.

Pada 20 Okt lepas, Hamid Sultan telah memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman itu melalui Tetuan KH Lim & Co di Mahkamah Tinggi di sini serta menamakan pengerusi JEC dan JEC masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Beliau meminta perintah certiorari untuk membatalkan keputusan responden sebagaimana yang dinyatakan dalam surat responden pertama bertarikh 28 dan 29 Sept selain deklarasi bahawa keputusan itu tidak sah dan batal serta bercanggah dengan Perkara 5 dan 8 Persekutuan Perlembagaan.

Beliau turut memohon satu deklarasi bahawa pewujudan panel tujuh anggota jawatankuasa itu untuk mendengar dan memutuskan aduan yang dibuat terhadapnya adalah melanggar prosedur serta peraturan undang-undang.

Hakim itu juga memohon deklarasi bahawa responden pertama sebagai pengerusi jawatankuasa itu, tidak layak mendengar atau memutuskan aduan yang dibangkitkan dalam usul responden pertama bertarikh 10 Ogos.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat adalah Pengerusi JEC ketika ini.

Hamid Sultan, dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama semakan kehakiman, berkata permohonan itu dibuat sebagai membantah keputusan JEC yang tidak membenarkan permintaan beliau agar prosiding terhadapnya didengar dalam satu forum terbuka.

Beliau berkata permohonan itu difailkan berdasakan keputusan responden pertama untuk menyiasat dua aduan yang dibangkitkan terhadapnya oleh hakim lain membabitkan penghakimannya sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya menentang Aluma Mark Chinonso & satu lagi serta afidavit yang disahkannya bagi menyokong saman pemula difailkan peguam Sangeet Kaur Deo, yang memohon beberapa deklarasi berhubung keputusan mahkamah dalam rayuan bapanya, mendiang Karpal Singh.

Menurut Hamid Sultan, siasatan berhubung salah laku membabitkan hakim tidak boleh dilakukan secara tertutup.

"Ini bercanggah dengan prinsip kebebasan kehakiman terutama apabila saya telah menyatakan bahawa saya tidak mahu prosiding terhadap saya dijalankan secara tertutup, dan sebaliknya saya memilih untuk mengadakan pendengaran secara terbuka.

“Saya juga telah diletakkan dalam keadaan yang amat memalukan dan diperli bukan hanya oleh rakan hakim tetapi juga oleh orang ramai," kata beliau dalam afidavit.

- Bernama