Timbalan Menteri Kesihatan diasak soal peruntukan 'tersirat'
PARLIMEN | Timbalan Menteri Kesihatan I Dr Noor Azmi Ghazali berdepan asakan ahli-ahli parlimen ketika menjawab soalan yang dibangkitkan berkenaan peruntukan untuk Kementerian Kesihatan (KKM) ketika perbahasan peringkat jawatankuasa hari ini.
Menjawab bagi pihak Menteri Kesihatan Dr Adham Baba yang tak hadir ke sidang hari ini, ucapan Noor Azmi banyak kali terganggu terutamanya berkenaan butiran peruntukan untuk disiplin perubatan lain yang didakwa beberapa beberapa ahli parlimen telah dipotong untuk Belanjawan 2021.
Antaranya Jalaluddin Alias (BN - Jelebu) yang membangkitkan pengurangan sebanyak RM31 juta untuk psikiatri dan kesihatan mental; dan Mukhriz Mahathir (Bebas - Jerlun) mengenai radioterapi dan onkologi yang menurun sebanyak RM192 juta, farmasi dan bekalan (menurun RM1.38 bilion) dan kardiotorasik (menurun RM120 juta).
Jelas Noor Azmi, peruntukan untuk KKM meningkat daripada RM30.6 bilion dalam belanjawan lalu kepada RM31.94 bilion, dan malah jumlah sebenar adalah lebih daripada itu.
Katanya, peruntukan keseluruhan yang akan dibelanjakan KKM pada 2021 sebenarnya berjumlah RM35.82 bilion, iaitu mencecah 11.11 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.
Ia merangkumi RM31.94 bilion seperti dalam Belanjawan 2021, RM800 juta tabung khas Covid-19, RM3 bilion untuk perolehan vaksin, dan RM79.6 juta peruntukan tambahan yang diumumkan Kementerian Kewangan semasa pembentangan belanjawan.
“Ini yang saya cuba nyatakan, apa yang tersirat dari apa yang tersurat. Ini memerlukan ketenangan untuk mereka menerima,” katanya.
Namun, penjelasan “tersurat dan tersirat” Noor Azmi nampaknya tidak diterima ahli-ahli parlimen.
“Belanjawan mana boleh tersirat. Dia kena tersurat belaka. Itu yang kita bahas. Yang tersirat nak bahas macam mana?” soal Mohd Hatta Md Ramli (PH - Lumut).
Dzulkefly Ahmad (PH - Kuala Selangor) pula mendakwa jumlah peruntukan itu adalah perbelanjaan off budget (tidak termasuk dalam belanjawan kerajaan dan dibiayai pihak luar).
Keadaan terus gamat sehingga Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun memberi peringatan beberapa kali agar sidang memberi ruang kepada Noor Azmi meneruskan jawapan dan penggulungannya.
Sebelum itu, Noor Azmi menjelaskan penyusunan semula terhadap peruntukan itu dibuat bagi melicinkan pentadbiran dan pengurusan, namun disanggah Mohd Hatta yang mempertikaikan keperluan berbuat demikian memandangkan KKM telah mencatatkan prestasi cemerlang dalam pengurusan peruntukan sebelum ini.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha KKM Dr Chen Chaw Min menafikan berkata KKM memindahkan beberapa butiran daripada perbelanjaan pengurusan kepada perbelanjaan pembangunan sebagai penambahbaikan dan memastikan pemantauan lebih menyeluruh.
Contohnya, bekalan perubatan kemudahan kesihatan diletakkan di bawah butiran program khusus, manakala konsesi penswastaan makmal ubat dan stor di bawah butiran komitmen kewangan.
Terdahulu, Noor Azmi memberikan beberapa contoh disiplin perubatan seperti nefrologi dan perubatan am, yang apabila peruntukan butirannya ditambah dengan bekalan perubatan dan peruntukan tambahan, mencatatkan jumlah lebih tinggi daripada peruntukan tahun lepas.
Namun, ada ahli parlimen berkata pertambahan itu tidak terjelma di dalam butiran peruntukan yang mereka bahaskan, seperti dibangkitkan Jaludin dan Kasturi Patto (PH - Batu Kawan) yang mempersoalkan di manakah tambahan RM24 juta untuk psikiatri dan kesihatan mental seperti didakwa Noor Azmi.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Noor Azmi menjelaskan ada peruntukan tambahan yang disebutkannya termasuk dalam peruntukan tambahan berjumlah RM79.6 juta kepada KKM seperti yang disenaraikan di bawah perbelanjaan Kementerian Kewangan.
Katanya, dia diserang dari awal ucapannya oleh ahli-ahli parlimen yang mahu mendengar penjelasannya berhubung soalan yang dibangkitkan.
Memberi pecahan peruntukan tambahan RM79.6 juta itu, katanya, ia termasuk RM24.6 juta untuk kesihatan mental; RM19 juta untuk inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat; RM6 juta untuk ubat biologik; RM25 juta untuk dialisis peritoneal; dan RM5 juta untuk saringan kanser serviks.
Meskipun dengan perbahasan yang 'panas', belanjawan untuk KKM diluluskan dengan undian suara.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai