Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

DAP tekan MB Kedah isu ‘mabuk todi’

Veteran DAP Lim Kit membidas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor kerana menggunakan istilah “mabuk todi” ketika menyerang kembali pengkritik dalam isu perobohan kuil.

Lim berkata dia menyokong pendirian seorang ahli akademik supaya Sanusi diganti kerana didakwa tidak layak mentadbir masyarakat majmuk.

“Dua hari yang lalu, saya bertanya apakah kepimpinan PAS bersedia menegur Sanusi di atas cacian bersifat perkauman yang biadab, tidak sensitif, dan tidak boleh diterima dalam masyarakat majmuk apabila dia menggunakan perumpamaan ‘mabuk todi’ terhadap pengkritik mengenai isu perobohan kuil di Kuala Kedah.

“Saya menanyakan, sama ada pimpinan PAS kini tidak lagi mampu untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan, antara perkara yang adil dan zalim?” soal anggota parlimen Iskandar Puteri dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Sanusi Md Nor 

Ahli akademik dirujuk Lim itu - Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi - menulis di MysinChew bahawa Sanusi melakukan empat “dosa besar” sebagai seorang rakyat Malaysia dan orang Islam.

Antaranya, tulis Tajuddin, mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terbabit dan tidak memohon maaf.

Atas semangat Rukun Negara dan demi kepentingan Perikatan Nasional (PN) dan PAS, katanya, Sanusi mesti digantikan dengan menteri besar yang baru.

Pada 5 Dis lalu, Sanusi membidas pihak yang membangkitkan isu perobohan kuil Hindu di Kuala Kedah dengan berkata ada yang “mabuk todi populariti” dalam isu tersebut.

Katanya, perobohan itu melibatkan isu undang-undang, “bukan perkauman, agama atau diskriminasi".

Beberapa pemimpin politik tampil mengkritik kenyataan itu, termasuk Presiden MIC S Vigneswaran dan Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo.

Bagaimanapun, Sanusi menjelaskan kenyataannya hanya kiasan kepada pengkritik dan bukan bertujuan untuk menghina mana-mana kaum.

'Burukkan keadaan'

Sementara itu, Lim turut mendesak Sanusi memohon maaf atas kenyataan tersebut.

“Sanusi sepatutnya memohon maaf di atas cacian beliau yang biadab, tidak sensitif dan tidak boleh diterima itu.

“Sebaliknya dia telah memburukkan lagi keadaan apabila beliau memberitahu para pengkritik beliau untuk mengambil kelas Bahasa Malaysia kerana tidak memahami apa yang cuba disampaikan beliau,” kata Lim.