Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

4 lelaki didakwa bunuh bekas pengarah Mardi

Empat lelaki dihadapkan dengan pertuduhan membunuh bekas pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) akhir bulan lalu.

Empat tertuduh itu, M Ravindran, 23; P Kogilan, 23; T Sugu, 27; and S Vickeswaran, 22; kelihatan tenang ketika menyatakan mereka memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Malaysia.

Tiada rayuan direkodkan dalam prosiding hari ini.

Kogilan, Sugu dan Vickeswaran masing-masing bekerja sebagai penghantar barang, juru elektrik dan pengawal keselamatan, manakala Ravindran tidak bekerja.

Mereka didakwa bersama-sama membunuh Wan Hassan Wan Embong, 71, di sebuah rumah di Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur, antara pukul 3.35 pagi hingga empat pagi pada 29 Nov lalu.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Majistret Wong Chai Sia menetapkan tarikh 9 Mac 2021 bagi sebutan untuk penyerahan laporan forensik.

Berdasarkan undang-undang, ikat jamin tidak diberikan kepada mereka yang didakwa atas pertuduhan bunuh.

Pada 29 Nov lalu, Bernama melaporkan mangsa maut ditetak dengan parang oleh dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk rumahnya.

Wan Hassan dipercayai telah ditetak di bahagian muka dan leher ketika cuba melawan mereka dan mati di tempat kejadian.

Isterinya pula, seorang pesara kerajaan berusia 70 tahun, cedera di tangan akibat ditetak.

Satu lagi pertuduhan merompak

Di mahkamah berbeza, empat lelaki itu turut dihadapkan dengan pertuduhan rompakan berkumpulan di satu lagi lokasi lain di Kuala Lumpur pada hari sama dakwaan pembunuhan itu berlaku.

Untuk kes itu, mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan.

Mereka didakwa menggunakan parang dan batang besi ketika melakukan kesalahan itu terhadap Mohd Muzaffar Zulkifli Martin, 33.

Kejadian itu didakwa berlaku di Lot 442, Jalan Tiara Titiwangsa 1, Taman Tiara Titiwangsa, Setapak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, antara pukul 4.12 pagi hingga 5.30 pagi pada Nov 29.

Didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397, mereka boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau sebat jika sabit kesalahan.

Hakim Izralizam Sanusi tidak memberikan ikat jamin dan menetapkan 9 Mac 2021 untuk sebutan kes.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar mewakili pendakwaan, manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam dalam prosiding hari ini.

[Berita lanjut menyusul]