Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Alkisah kucing dan mesin basuh

Walaupun pelbagai usaha kebajikan dan perlindungan haiwan dijalankan, namun, semakin hari, semakin banyak kes-kes kezaliman terhadap haiwan sehingga kadangkala kezaliman tersebut dilakukan secara melampau di luar kewarasan akal dan tidak berperikemanusiaan.

Antara kes menzalimi haiwan yang pernah tular di media sosial sebelum ini termasuklah memasukkan kucing dalam mesin basuh, menghempas kucing ke kaki lima kerana memanjat kereta, menendang, melanggar lari, mematahkan anggota badan kucing, menyembur cat pada muka dan menembak kera, memakuk muncung anjing, memakan biawak hidup-hidup, memberi kambing meminum arak, dan mematahkan sayap burung kerana tidak mengeluarkan bunyi merdu.

Bulan Oktober adalah bulan yang mesra haiwan kerana terdapat pelbagai sambutan di peringkat global berkaitan haiwan, seperti Hari Haiwan Sedunia pada 4 Oktober dan Hari Burung Migrasi Sedunia pada 10 Oktober.

Sambutan ini merupakan suatu inisiatif global dalam usaha - antara lain – bagi meningkatkan kebajikan dan perlindungan terhadap haiwan.

Akta Kebajikan Haiwan 2015

Mengapakah kezaliman terhadap haiwan ini tidak juga dapat dibendung walaupun undang-undang berkaitan kebajikan haiwan telah diperkasakan?

Kira-kira pada tiga tahun lalu, Akta Kebajikan Haiwan (Akta 772) - yang diluluskan parlimen sejak 2015 - akhirnya dikuatkuasakan pada Julai 2017 dengan hukuman yang lebih tinggi, penguatkuasaan yang lebih efisien dan meluaskan lagi skop kebajikan haiwan yang terkandung dalam undang-undang sedia ada iaitu Akta Haiwan 1953 (pindaan 2013).

Kesalahan penganiayaan haiwan misalnya, menurut seksyen 29 Akta 772, mana-mana orang yang memukul, menyepak, mendera, mencacatkan, meracun, menambat, mengurung secara kejam adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh dihukum dengan denda antara RM20,000 ke RM100,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Namun, sekalipun undang-undang baru diwujudkan dan dinaikkan denda setinggi mana pun, jika pengetahuan dan kesedaran masyarakat masih di takuk lama, kezaliman tetap menjadi kelaziman.

Sedangkan ketika masyarakat melaungkan hak asasi mereka, adakah mereka lupa atau tidak tahu bahawa haiwan juga mempunyai haknya?

Polisi kebebasan haiwan global

Di peringkat global, terdapat satu polisi kebajikan haiwan berasaskan sains yang diperakui sebagai piawai emas iaitu lima kebebasan (five freedoms) yang perlu diberikan hak kepada haiwan.

  • Pertama; kebebasan dari lapar dan dahaga.
  • Kedua; kebebasan dari ketidakselesaan.
  • Ketiga; kebebasan dari sakit dan penyakit.
  • Keempat; kebebasan mengekspresikan tingkah laku normal dan
  • Kelima; kebebasan dari ketakutan dan tekanan.

Lima kriteria ini ditentukan oleh jawatankuasa penasihat yang terdiri daripada pakar terkemuka dalam bidang pertanian dan penternakan, penyelidikan haiwan, tingkah laku haiwan dan etika haiwan.

Polisi ini merupakan pendekatan yang komprehensif dan holistik serta boleh diaplikasikan dalam pelbagai aspek kebajikan haiwan di seluruh dunia.

Pelbagai inisiatif telah dilakukan dalam mencari langkah untuk menjaga kebajikan haiwan bermula dari program-program pendidikan kesedaran sehinggalah ke pemerkasaan polisi dan undang-undang, nampaknya masih menemui jalan buntu.

Namun, terdapat juga usaha mencari pendekatan berbeza dalam menerapkan kesedaran.

World-Wide Fund for Nature (WWF)-Malaysia dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) misalnya telah menggarapkan pendekatan agama dalam usaha melindungi haiwan dengan kepercayaan bahawa kesedaran akan lahir daripada hati, dan pendekatan yang paling dekat di hati adalah pendekatan agama.

Kesedaran berasaskan agama

Hubungan manusia dan haiwan bukan hanya secara ekonomi dan fizikal (untuk dijadikan pakaian, makanan dan pengangkutan) tetapi juga secara emosi dan spiritual (haiwan-haiwan bertasbih dalam bahasanya dan menjadi teman penenang jiwa).

Selain itu, sikap manusia terhadap haiwan juga menjadi titik tolak sama ada diberi ganjaran pahala dan dosa, syurga mahupun neraka.

Menurut hadis Sahih al-Bukhari dan Muslim:

“Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang ditambatnya tanpa diberikan makan, dan dia tidak melepaskan kucing tersebut untuk makan sendiri binatang yang berkeliaran di atas muka bumi.”

Begitu pula dengan hadis Sahih al-Bukhari dan Muslim:

“Seorang wanita yang melacur telah melihat seekor anjing pada suatu hari yang panas sambil mengelilingi sebuah perigi. Anjing tersebut juga menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita tersebut menanggalkan kasutnya lalu memberinya minum maka telah diampunkan dosanya.”

Sebenarnya, sejak dahulu lagi, ahli-ahli falsafah barat seperti Aristotle, Rene Descartes, Immanuel Kant, dan Peter Singer telah memperdebatkan status moral haiwan sama ada meletakkan haiwan lebih rendah statusnya dari manusia, sama statusnya dengan manusia atau lebih tinggi dari manusia.

Sebenarnya, Islam telah pun menggariskan panduannya menerusi ayat-ayat al-Quran yang diturunkan lebih 1,400 tahun dahulu.

Menerusi surah al-Tin ayat 4, dapat difahami bahawa Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian “ahsani taqwim” dengan kurniaan akal.

Akal inilah yang menjadikan status manusia lebih tinggi daripada haiwan.

Allah juga menyatakan dalam surah al-An’am ayat 38 bahawa haiwan yang melata di bumi dan terbang di langit juga “ummah” sama seperti manusia.

Namun, menurut surah al-A’raf ayat 179, sekiranya manusia tidak menggunakan akal dengan sebaiknya dalam perancangan dan perilakunya, kedudukannya dikatakan adalah lebih sesat “balhum adhal” daripada haiwan ternakan.

Justeru, sebagai manusia yang diberikan nikmat akal, kita hendaklah sentiasa berfikiran waras, dan berperikemanusiaan dalam berinteraksi dengan semua mahkhluk Tuhan, termasuklah haiwan.


DR MOHD ISTAJIB MOKHTAR merupakan pensyarah kanan, Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya. Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa Institut Penjagaan dan Penggunaan Haiwan Universiti Malaya (UM IACUC), dan boleh dihubungi di [email protected].

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.