Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tengok, berapa banyak plastik anda makan?

GLOBAL | Apa hidangan makan malam anda? Sushi Lego, burger kad kredit atau daging batang paip PVC?

Contoh-contoh ini mungkin kedengaran melampau, tetapi dapat dengan mudah menunjukkan dari semasa ke semasa jumlah terkumpul plastik halus mikroskopik yang manusia 'makan' setiap hari.

Seseorang itu boleh memakan plastik bersamaan dengan sekeping kad kredit seminggu, maklum satu kajian pada tahun 2019 oleh WWF International.

Kajian tersebut menyimpulkan pengambilan plastik itu terutamanya daripada plastik yang terendam dalam kandungan air minum, selain melalui makanan seperti kerang, yang cenderung dimakan keseluruhannya sehingga plastik halus di dalam sistem pencernaan haiwan itu juga turut dimakan sama oleh manusia.

Reuters menggunakan penemuan kajian itu untuk menggambarkan banyak mana sebenarnya jumlah plastik yang dimakan dalam pelbagai tempoh masa.

Dalam sebulan, jumlah plastik yang dimakan sama berat dengan blok binaan Lego 4x2 dan dalam setahun ia bersamaan menjamu sejumlah plastik dalam topi keledar pemadam kebakaran.

Ini mungkin kedengaran tidak banyak, tetapi ia boleh menimbun. Pada kadar penggunaan ini, dalam tempoh satu dekad, pengguna mungkin memakan plastik seberat 2.5 kg (5.5 lb) setara dengan lebih daripada dua batang paip plastik yang cukup besar.

Seumur hidup, pengguna mengambil kira-kira 20 kg mikroplastik.

Pengeluaran plastik telah meningkat sepanjang 50 tahun kebelakangan ini dengan penggunaan produk pakai buang yang meluas.

Plastik tidak terurai secara biodegradasi, tetapi hanya berkecai menjadi kepingan yang lebih kecil. Oleh demikian, plastik halus ini akhirnya akan berada di mana-mana, berserakan di pantai, masuk ke dalam rantaian makanan dan ada hidupan laut yang tercekik memakannya.

Berdiri di pinggir tepian kawasan paya air payau dan habitat hidupan liar yang dilindungi di selatan England, Malcolm Hudson, seorang profesor sains alam sekitar di University of Southampton, menunjukkan kepada Reuters pelet plastik kecil seperti manik yang meresap ke dalam lumpur di situ.

Hudson berkata kebanyakan penyelidikan telah dilakukan terhadap mikroplastik ini.

Bagaimanapun, katanya terdapat peningkatan jumlah zarah yang lebih kecil yang disebut nanoplastik di persekitaran yang jauh lebih sukar untuk dikesan, yang kemungkinan besar manusia juga akan menelannya.

"Ini boleh masuk ke dalam sistem darah atau pembuluh limfa kita dan berakhir di dalam organ kita," kata Hudson.

"Partikel plastik itu adalah bom jangka yang menunggu masa untuk berkecai dalam bentuk lebih halus untuk diserap haiwan atau oleh manusia dan kemudian berpotensi mengakibatkan kesan yang berbahaya."

[Baca laporan asal]


(Laporan oleh Kim Kyung Hoon dan Matthew Stock; Ditulis oleh Karishma Singh; Suntingan Michael Perry)