Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PKPB 3.0 (8 Dis) : Apa yang boleh dan tak boleh anda lakukan

PANDUAN KINI | Fasa baru perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) berkuat kuasa mulai semalam, dengan penguatkuasaan yang lebih longgar termasuk kebenaran melakukan perjalanan rentas negeri.

Bagaimanapun, terdapat beberapa sekatan yang masih perlu dipatuhi di bawah peraturan berkenaan.

Panduan yang disediakan ini berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 7 Dis lalu dan kenyataan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob pada 5 Dis.

Klik di sini untuk melihat senarai negeri dan daerah yang dikenakan PKPB.

Bolehkah saya meninggalkan rumah?

Ya. Perjalanan dari kawasan di bawah PKPB ke kawasan lain, atau ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan.

Tidak ada sekatan perjalanan dari zon merah ke zon hijau, atau sebaliknya.

Ini bererti perjalanan rentas daerah dan negeri dibenarkan. Sekatan perjalanan hanya dihadkan dari atau ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan hanya dibolehkan dengan kebenaran pihak polis seperti kecemasan dan mendapatkan rawatan perubatan atau kematian.

Mereka yang ingin ke Sabah perlu menjalani ujian Covid-19 tiga hari sebelum memasuki negeri itu.

Berapa orang boleh berada dalam kereta saya?

Tidak ada lagi had penumpang untuk kenderaan persendirian. Jumlah penumpang bergantung kepada kapasiti kenderaan.

Sebagai contoh, sebuah kereta lima tempat duduk boleh dinaiki lima penumpang, dan sebuah MPV tujuh tempat duduk boleh memuatkan tujuh penumpang.

Bagaimana dengan teksi, e-hailing, bas dan pengangkutan awam yang lain?

Menurut MKN, pengangkutan awam boleh beroperasi berdasarkan kapasiti kenderaan. Waktu operasi adalah berdasarkan syarat lesen yang dikeluarkan.

Bolehkah saya mengadakan mesyuarat?

Mesyuarat untuk tujuan kerja atau mesyuarat  rasmi di pejabat, hotel, atau institusi lain dibenarkan, dengan mematuhi penjarakan fizikal.

Pelitup muka hendaklah sentiasa dipakai dan bilik mesyuarat tidak boleh melebihi kapasiti 50 peratus.

Bagaimana dengan persidangan dan latihan?

Persidangan, seminar, bengkel latihan, ceramah dan pameran hanya boleh diadakan di zon hijau. Latihan hanya boleh dilakukan di institusi latihan.

Bolehkah saya menghantar anak ke sekolah atau pusat jagaan kanak-kanak?

Sekolah, kolej dan universiti ditutup - kecuali pelajar yang mengambil peperiksaan antarabangsa.

Bagaimanapun, kelas tuisyen, muzik, tarian, seni, kelas al-Quran dan kelas bahasa boleh beroperasi secara bersemuka di zon hijau di kawasan PKPB.

Pusat asuhan kanak-kanak, taska, dan tadika juga boleh beroperasi dengan kebenaran pihak berkuasa.

Bolehkah saya membeli-belah? Pukul berapa perniagaan ditutup?

Ya. Pasar raya, pusat beli-belah, kedai runcit, restoran, kedai dobi dan perniagaan laijn yang menjual barangan keperluan harian boleh beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Begitu juga pasar harian, pasar borong, pasar tani, pasar malam boleh beroperasi dalam waktu berlesen / permit yang diberikan sehingga tengah malam - dengan mematuhi SOP di bawah pengawasan pihak berkuasa, pihak berkuasa tempatan dan Rela.

Stesen minyak juga boleh dibuka dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam, kecuali stesen di lebuh raya yang boleh beroperasi 24 jam sehari.

Farmasi akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam. Klinik dan hospital akan terus beroperasi selama 24 jam.

Apakah peraturan untuk makan di restoran/ kedai makan?

Garis panduan baru tidak lagi menyatakan berapa ramai bilangan individu yang dihadkan bagi satu meja.

Ia hanya menyatakan perlu mematuihi penjarakan fizikal 1 meter antara pelanggan, bergantung kepada saiz meja. Bagaimanapun pub tetap ditutup.

Sekiranya saya ingin memesan penghantaran makanan, bilakah saya boleh melakukannya?

Penghantaran makanan boleh dilakukan dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Bolehkah saya bersukan?

Sukan dalaman dan luaran tanpa sentuhan fizikal dibenarkan.

Mesti ada penjarakan sosial 1 hingga 3 meter untuk aktiviti statik, dan jarak 3-5 meter untuk aktiviti dinamik.

Kemudahan sukan awam dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 50 peratus.

Sukan yang mempunyai aktiviti sentuhan tidak dibenarkan.

Bolehkah saya pergi ke pawagam?

Pawagam, taman tema dan taman permainan dalam bangunan hanya dibenarkan beroperasi di zon hijau.

Konsert dan acara secara langsung dengan penonton tidak dibenarkan. Kelab malam juga ditutup.

Bolehkah saya hadiri majlis perkahwinan?

Perhimpunan sosial seperti majlis perkahwinan, kenduri, pertunangan, sambutan ulang tahun, sambutan hari jadi, perjumpaan, dan pemukiman tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, upacara akad nikah di pejabat agama dibenarkan, sehingga 30 tetamu atau dalam had yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Upacara perkahwinan untuk orang bukan Islam juga dibolehkan di rumah ibadat, bangunan persatuan, atau jabatan Pendaftaran Negara sehingga 30 orang tetamu bergantung kepada ruang dan jarak fizikal.

Bolehkah beribadat di rumah ibadat?

Aktiviti di masjid dan surau dibenarkan dengan had yang ditetapkan oleh majlis-majlis agama Islam negeri.

Rumah ibadat bukan Islam juga boleh dibuka dengan had yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, MKN, atau kerajaan negeri.

Bagaimana jika saya melanggar peraturan PKPB?

Perbuatan melanggar Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 boleh didenda RM1,000, atau penjara enam bulan, atau kedua-duanya.

Lebih buruk lagi, jika anda menghalang penjawat awam yang menguatkuasakan PKPB, anda boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Penjawat awam tidak hanya terhad kepada polis dan meliputi penjawat awam pelbagai agensi, termasuk pegawai majlis perbandaran.

Mengapa peraturan PKPB dilonggarkan?

Kerajaan melonggarkan peraturan PKPB atas alasan ekonomi dan sekiranya PKPB terus dikuatkuasakan seperti sebelum ini, ia boleh mengakibatkan kerugian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga RM300 juta sehari.



Panduankini ini disediakan oleh Zikri Kamarulzaman