PM tak ambil kira pun surat sokongan saya - Annuar Musa
Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa tampil memberi penjelasan berhubungan dakwaan ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mengenai surat sokongan kepada perdana menteri supaya meluluskan projek pembinaan lebuh raya di Kelantan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat.
Annuar menegaskan, surat sokongan bukan keputusan atau arahan dan tidak semestinya diterima pakai.
"Bila rakyat minta sokongan dan ada asas dan merit yang sesuai, tugas wakil rakyat adalah memberikan sokongan yang dipohon.
"Laku tak laku itu soal lain, kerana setiap urusan kerajaan, terutama sistem perolehan mesti mengikut peraturan," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu Lokman dalam satu hantaran di Facebooknya mendedahkan 'surat sokongan' Annuar kepada Muhyiddin agar diberikan rundingan terus projek membina dan menyiapkan Lebuhraya Kota Bharu- Kuala Krai (pakej 2C dan 3A) kepada sebuah syarikat.
"Sekarang baru saya faham kenapa Annuar beria mempertahankan Muhyiddin Yassin," tulisnya yang turut memuat naik gambar surat sokongan itu.
"Projek Membina dan Menyiapkan Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai, Kelantan, Pakej 2C & 3A. Patutlah Annuar Musa berangan nak tanding presiden Umno,"
'Sokongan tidak berjaya'
Sementara itu Annuar yang juga anggota Parlimen Ketereh berkata, sokongannya itu tidak berjaya dan tidak diambil kira pun oleh perdana menteri.
"Belum selesai dengan DAP, ada lagi kerja fitnah ini.
"Mujur juga sokongan tak berjaya, dan tak diambil kira pun oleh perdana menteri dan projek berkenaan telah pun dibuat secara tender terbuka.
"Jika tidak entah apa lagi fitnah agaknya," ujarnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai