Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah Persekutuan tolak semakan sabitan kes bunuh Altantuya

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas komando polis Azilah Hadri untuk mengkaji semula sabitan dan hukuman mati ke atasnya berhubung pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Panel lima orang hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed sebulat suara menolak permohonan semakan itu semasa prosiding mahkamah terbuka hari ini.

Anggota hakim lain adalah hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh, Vernon Ong Lam Kiat, Zaleha Yusof, dan Zabariah Mohd Yusof.

Azilah diwakili oleh J Kuldeep Kumar sementara pendakwaan diketuai oleh TPP Dusuki Mokhtar.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah bertindak selaku peguam pemerhati bekas perdana menteri Najib Razak.

Azilah memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman pada 5 Dis tahun lalu bersama-sama akuan berkanun setebal 32 muka surat yang mendakwa bahawa arahan untuk membunuh Altantuya adalah daripada Najib yang ketika itu menyandang jawatan sebagai timbalan perdana menteri.

Azilah, 43, meminta agar sabitan serta hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015 diketepikan dan perintah agar kes itu dibicarakan semula.

Pada Disember tahun lalu, peguam Shafee memaklumkan pihak media bahawa anak guamnya iaitu Najib, menyangkal semua dakwaan Azilah itu.

Azilah dan rakannya, Sirul Azhar Umar, 47, telah disabitkan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 atas pertuduhan membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi keesokan harinya pada 2006.

Mereka bagaimanapun telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013 selepas membenarkan rayuan kedua-dua anggota UTK itu.

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati mereka bersalah melakukan jenayah itu.

[Baca berita penuh]