Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Projek REE di Kedah akan ancam bekalan air di utara - CEO PBAPP

Kelulusan izin perlombongan berskala besar di Ulu Muda akan membahayakan bekalan air di tiga negeri di utara Malaysia melibatkan 4.2 juta orang pengguna, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) Jaseni Maidinsa.

Dia merujuk pengumuman Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor negeri itu telah meluluskan sebuah syarikat untuk tinjauan cari gali "unsur nadir bumi" (REE) bagi tujuan 'pengekstrakan' secara besar-besaran di Ulu Muda, Sik dan Baling.

Jaseni menggesa rancangan itu dihentikan serta-merta.

"Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa), Kementerian Sumber Asli dan Tenaga (NRE), dan Majlis Keselamatan Nasional (MKN) perlu bekerjasama untuk menghentikan usaha berbahaya ini dengan segera.

"Menteri besar Kedah dengan mudah lupa bahawa Ulu Muda adalah kawasan tadahan air terbesar dan terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jaseni berkata, operasi perlombongan berskala besar di kawasan sekitar Hutan Simpan Ulu Muda seluas 163,000 hektar itu akan melibatkan penerokaan tanah, tempat mineral tersebut dijumpai.

"Kira-kira 70 peratus air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah datangnya dari Ulu Muda manakala lebih daripada 80 peratus air mentah yang diabstrak oleh PBAPP dari Sungai Muda, di muka sauk Lahar Tiang di Pulau Pinang, berasal dari Ulu Muda.

"Justeru, Ulu Muda tidak dapat terus berfungsi sebagai kawasan tadahan air semula jadi utama untuk tiga negeri NCER jika hutan hujannya ditebang, bukitnya diratakan dan landskapnya dicalarkan oleh operasi perlombongan," katanya.

Perlombongan juga akan memberi kesan buruk kepada Sungai Muda, sumber air mentah yang strategik, tambahnya.

Bencana pada kawasan tadahan air

Jaseni menjelaskan perlombongan nadir bumi akan membahayakan keselamatan bekalan air di Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang.

Menurutnya, ini kerana tidak ada cara untuk menjalankan kegiatan perlombongan berskala besar di Ulu Muda tanpa memusnahkan hutan hujan yang menadah air hujan yang kemudian mengalir ke Sungai Muda sebagai air mentah.

Dalam hal ini, kata Jaseni, Ulu Muda adalah penghubung utama dalam rangkaian nilai bekalan air NCER yang memenuhi keperluan air penduduk dan perniagaan di Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang.

Gambar hiasan: Pembalakan di Ulu Muda.

"Kira-kira 70 peratus air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah datangnya dari Ulu Muda manakala lebih daripada 80 peratus air mentah yang diabstrak oleh PBAPP dari Sungai Muda, di muka sauk Lahar Tiang di Pulau Pinang, berasal dari Ulu Muda," katanya.

Jaseni berkata projek itu jika dilaksanakan akan mengakibatkan bencana dengan penebangan hutan hujan, bukit-bukau diratakan serta operasi perlombongan.

Jelasnya ini kerana Ulu Muda tidak akan dapat terus berfungsi sebagai kawasan tadahan air semula jadi utama bagi ketiga-tiga negeri NCER.

Katanya, projek sebegitu mungkin boleh mendatangkan kerosakan kekal dan perlombongan REE di Ulu Muda sudah tentu akan meletakkan perkhidmatan bekalan air untuk ketiga negeri ini dalam bahaya.

"Operasi tersebut akan menyukarkan proses untuk melupuskan produk sampingan serta mencemarkan dan kontaminasi sistem air permukaan di Lembangan Sungai Muda di samping menjejaskan ribuan perniagaan yang berusaha untuk menghidupkan semula operasi mereka ketika pandemik global Covid-19," jelasnya.

"Kasa, NRE dan MKN mesti memastikan bahawa Kedah tidak membahayakan keselamatan bekalan air negeri NCER iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, yang menyumbang sekitar RM147.8 bilion pada 2019 dan mata pencarian sebanyak 4.2 juta orang," katanya lagi.

[Baca berita penuh]