Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Belanjawan Kementerian Pengangkutan lulus, undian 109-94

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi peruntukan Kementerian Pengangkutan berjumlah RM6.05 bilion melalui undi belah bahagi hari ini.

Sebanyak 109 ahli parlimen mengundi meluluskan belanjawan kementerian tersebut dengan 94 undi tidak menyokong, manakala 17 daripadanya tidak hadir.

Ia merupakan yang kelima diluluskan melalui undi belah bahagi, sementara peruntukan untuk lapan kementerian lain, termasuk RM7.35 bilion untuk Kementerian Kerja Raya, diluluskan melalui undi suara.

Dalam ucapan penggulungannya, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata kerajaan telah memperuntukkan RM23.3 juta bawah Belanjawan 2021 untuk menampung 30 peratus yuran perundangan dalam perbicaraan pesawat Malaysia Airlines MH17 yang terhempas di Ukraine pada 2014.

Ia masih dalam perbicaraan.

"Sebab kami membelanjakan kos sebanyak ini adalah disebabkan pesawat Malaysia.

"Kami ingin memastikan bahawa mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah itu dibawa ke muka pengadilan," kata Wee menjawab kepada soalan Jalaluddin Alias (BN-Jelebu).

Pesawat MH17 terhempas ketika di Ukraine Timur pada 2014 ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan mengorbankan semua nyawa 298 orang.

Pihak pendakwaan Belanda mendakwa pesawat itu ditembak menggunakan peluru berpandu BUK yang dilepaskan oleh kumpulan pro-Rusia di Ukraine, dari satu pangkalan tentera Rusia yang terletak di seberang sempadan.