Saarani akan hadir mesyuarat khas MT Umno
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Saarani Mohamad antara yang akan hadir ke mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam ini.
Datuk Saarani Beliau mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi Bernama.
Mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan dijangka memberi fokus kepada situasi pembentukan kerajaan baru Perak.
Saarani yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan dikatakan antara calon Menteri Besar Perak daripada Umno bagi menggantikan Adun Chenderiang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Jumaat lepas, pada persidangan DUN Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu gagal meraih sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya dan secara rasminya telah meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak, semalam.
Umno merupakan parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam DUN Perak iaitu 25 diikuti, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.
Semalam, Ahmad Zahid tidak menolak kemungkinan melakukan penjajaran politik baru dengan Pakatan Harapan sekiranya kerajaan Perikatan Nasional sedia ada tidak dapat dikekalkan.
Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan Pengerusi Parti Amanah Rakyat (Amanah) Perak Datuk Asmuni Awi turut dilaporkan berkata bahawa gabungan antara Umno dengan parti mereka, adalah sesuatu yang tidak mustahil.
Malah, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dilapor mengesahkan bahawa pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pimpinan Umno negeri itu sebelum ini.
Saarani bagaimanapun enggan mengulas mengenai perjumpaan berkenaan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai