Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PSM gesa pelarian Myanmar lumpuh dibebaskan sementara

PSM menggesa pihak berkuasa melepaskan sementara seorang pencari suaka politik dari Myanmar, yang lumpuh dari paras leher ke bawah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Taiping, Perak Selasa lalu.

Ia agar lelaki itu boleh dirawat di pusat penjagaan, kata Timbalan Presiden PSM S Arutchelvan.

Pada Jumaat lalu, Arutchelvan menggesa polis dan Jabatan Imigresen perlu menimbang untuk tidak mengambil tindakan kepada lelaki berusia 21 tahun itu, yang bekerja sebagai penoreh getah, sehinggalah keadaannya sihat.

"Nasib seorang pekerja migran dari Myanmar yang mengalami kecederaan saraf tunjang yang serius akibat kemalangan kini terletak di tangan Jabatan Imigresen.

"Kini mengalami kuadriplegia (lumpuh kedua-dua kaki dan tangan), dia kini terlantar di katil di balai polis Gerik sementara polis menunggu arahan selanjutnya daripada Jabatan Imigresen," katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, selepas kemalantan pada 1 Dis, polis menghantar lelaki itu ke Hospital Taiping, dan kos kemasukan dan rawatannya dibayar oleh komuniti warga Myanmar.

Selepas itu, katanya lagi, dia dibawa semula ke tahanan polis.

Kata Arutchelvan, dokumen Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengesahkan lelaki itu ialah pencari suaka politik yang memohon status pelarian daripadanya.

"Setakat ini pusat penjagaan setuju untuk menerima dan menjaganya sehingga dia boleh pulang tetapi polis belum mendapat kebenaran daripada Jabatan Imigresen.

"Kami meminta sedikit keanjalan diberikan, dan hak kesihatan dan kemanusian kepada pekerja migran tanpa dokumen yang berada dalam keadaan seperti ini.

"Kami meminta Jabatan Imigresen segera membenarkan untuk menghantarnya ke pusat penjagaan agar dia boleh mendapat penjagaan yang diperlukan," katanya.

Difahamkan lelaki itu membonceng motosikal ketika kemalangan berlaku. Polis telah menahan penunggang motosikal itu, yang juga pekerja migran tanpa dokumen dari Myanmar.

Ketua Polis Daerah Gerik Zulkifli Mahmood ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan perkara ini dan berkata polis memutuskan untuk tidak mengambil tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 ekoran keadaan kesihatannya.

"Kami merujuk kes ini kepada timbalan pendakwa raya dan memutuskan untuk tidak mendakwanya. Maka kami akan menyerahkannya kepada Jabatan Imigresen," katanya.

Menurut Zulkifli, penghantaran pulang lelaki itu bukan di bawah bidang kuasa polis.

Katanya lagi, polis telah menjaga lelaki itu dengan bantuan seorang kawannya, yang juga ditahan polis, sementara menunggu keputusan ujian Covid-19 yang diperlukan sebelum dia diletakkan di bawah penjagaan Jabatan Imigresen.

"Kami bersimpati (dengan keadaannya). Secara peribadi saya telah arahkan anggota di bawah saya untuk membantunya dan membekalkan makanan," katanya lagi.

Zulkifli menasihati PSM, komuniti warga Myanmar, dan NGO yang ingin membantu agar berurusan dengan Jabatan Imigresen.

[Baca berita asal]