K'jaan bayar pampasan RM172 juta batal projek PR1MA
PARLIMEN | Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak akan meminta peruntukan tambahan bagi bayaran pampasan berkaitan pembatalan projek-projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata kerajaan telah membatalkan 32 projek PR1MA dan setakat ini telah membelanjakan RM172 juta berhubung bayaran pampasan bagi 17 projek pembangunan itu.
"Untuk pengetahuan daripada 32 (projek itu), 17 kita telah beri pampasan RM172 juta.
"Yang lain (15 lagi projek) masih dalam rundingan. Ini juga kita berjaya menurunkan 30 peratus daripada tuntutan," jawabnya terhadap soalan tambahan daripada Chan Kon Yeow (PH-Tanjong).
"Untuk yang lain-lain kita tak minta lagi peruntukan daripada kerajaan pusat untuk menguruskan hutang dan pembiayaan seterusnya.
"We cut our losses (kurangkan kerugian), kita jual balik rumah yang dah ada, kita cover up balik yang hutang, dan insyaAllah pada tahun 2023 kita mampu pastikan semua hutang PR1MA dapat dibayar," katanya lagi.
Chan menyoal jumlah dana yang diperlukan oleh kerajaan untuk menyelesaikan semua tuntutan pampasan berkaitan PR1MA daripada kontraktor dan juga pembeli projek yang dibatalkan.
Projek yang dibatalkan itu dikenal pasti sebagai sebahagian daripada kajian semula pentadbiran PH sebelum ini terhadap semua projek pembangunan yang sedang berjalan dengan kemajuan kurang dari 15 peratus sejak ia dimulakan.
Selain projek yang dibatalkan, Zuraida berkata masih ada 62 projek PR1MA yang sedang berlangsung di seluruh negara, serta skim perumahan kos rendah lain di bawah bidang kuasa kementerian itu
"Kita gunakan tanah produktif untuk buat rumah-rumah baru bekerjasama dengan JPN SPNB dan sebagainya. Projek Jabatan Perumahan Negara (JPN), Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan PR1MA.
"Kami akan kurangkan kerugian dan dapatkan semula wang (cut losses and bring back the money)," katanya lagi.
Bulan lalu, harian kewangan The Malaysian Reserve memetik sumber yang mengetahui perkara itu berkata Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dijangka akan membelanjakan sehingga RM200 juta untuk pampasan kepada kontraktor projek yang dibatalkan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai