Dewan Perwakilan AS lulus RUU dikriminalisasi ganja
GLOBAL | Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), satu antara dua cabang kongres negara itu untuk pertama kalinya telah meluluskan undang-undang untuk dikriminalisasi ganja.
Undang-undang itu memperuntukkan untuk menarik keluar kanabis sebagai bahan kawalan persekutuan dan membatalkan beberapa bentuk hukuman.
Akta Peluang Pelaburan Semula dan Pemotongan (Lebih) Marijuana diluluskan dewan rakyat AS itu dengan 228 undi menyokong, berbanding 164 undi menolak pada hari Jumaat petang, dengan lima orang wakil rakyat Republikan - dan seorang bebas - menyokong RUU itu.
Untuk menjadi undang-undang, RUU itu perlu kelulusan Dewan Senat dan ditandatangani oleh presiden AS.
Bagaimanapun, RUU itu mungkin tergendala selagi Dewan Senat masih dikuasai wakil rakyat Republikan.
Kanabis mula disenaraikan sebagai bahan larangan di AS pada tahun 1970 dan selanjutnya presiden Richard Nixon mengisytiharkan "perang terhadap dadah" pada 17 Julai 1971.
Setakat ini, lima belas negeri AS dan Daerah Columbia telah menghalalkan penggunaan ganja bagi tujuan rekreasi, dan lebih dari 30 negeri membenarkan beberapa bentuk penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.
Penjualan ganja di AS dilaporkan mencapai tahap tertinggi lebih AS$230 juta pada cuti hujung minggu bersempena perayaan Thanksgiving.
RUU yang disahkan oleh Dewan Perwakilan AS itu juga akan membolehkan negeri-negerinya mengawal selia peraturan ganja, kata wakil rakyat Demokrat Earl Blumenauer, yang juga pengerusi bersama Kaukus Kongres Mengenai Kanabis, lapor Reuters.
"Undang-undang ini tidak menghalalkan ganja di seluruh negeri. Ia menghentikan kerajaan persekutuan daripada campur tangan dengan apa yang telah diputuskan oleh negeri-negeri," katanya.
Rang undang-undang kanabis AS ini akan membatalkan sabitan kesalahan ganja persekutuan dan mengenakan cukai 5 peratus ke atas produk ganja.
Ini juga menyokong pelaburan semula dalam masyarakat yang terkena dampak akibat "perang terhadap dadah" selama puluhan tahun, kata Blumenauer.
Menurut laporan Forbes pada 16 Nov memetik New Frontier Data, jualan produk ganja di AS melepasi AS$19.1 billion bagi tahun ini, dengan jangkaan pasaran mencapai AS$38.3 bilion menjelang 2025.
Industri kanabis sah di AS setakat ini telah mencipta 250,000 peluang pekerjaan, lapor Forbes lagi.
Untuk rekod, Suruhanjaya Dadah Narkotik (CND) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2 Disember telah "mengklasifikasikan semula kanabis sebagai "dadah yang kurang berbahaya."
Sidang CND ke-63 di Vienna, Austria bersetuju menerima usul untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis daripada Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 pindaan Protokol 1972 (Konvensyen 1961).
"Dalam mengkaji banyak cadangan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai ganja dan resinnya, CND memutuskan untuk mengugurkan ganja daripada Jadual Keempat Konvensyen Tunggal tahun 1961 mengenai Narkotik - iaitu ganja telah disenaraikan bersama dadah opioid yang boleh mematikan dan menyebabkan ketagihan, termasuk heroin.
"53 negara anggota CND memilih untuk membuang ganja yang selama 59 tahun dikawal secara ketat, bahkan sampai ke tahap tidak menggalakkan penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan," kata Suruhanjaya Dadah Narkotik PBB.
Bagaimanapun, keputusan suruhanjaya PBB ini tidak akan mengubah status kawalan kanabis atau ganja dan semua bahan-bahan berkaitannya di Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin semalam memaklumkan kanabis dan bahan-bahan berkait kanabis kekal dikawal di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana tindakan undang-undang tetap diambil ke atas sesiapa sahaja yang melanggar peraturan sedia ada.
Undang-undang negara memperuntukkan hukuman mati dikenakan terhadap orang yang memiliki lebih 200 gram kanabis, termasuklah individu yang mendakwa menggunakan ganja bagi tujuan perubatan.
Ini termasuklah kes Muhammad Lukman yang dijatuhi hukuman mati pada Ogos 2018 kerana memiliki 3,010 mililiter delta 9 tetrahydrocannabinol (ekstrak kanabis), 1,422 gram delta 9 tetrahydrocannabinol dan 279.81 gram kanabis.
Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 27 November tahun lalu mengekalkan hukuman mati terhadap Lukman.
Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri pada 18 September 2018 berpendapat kerajaan patut menyemak semula kes Lukman.
Satu lagi kes 'doktor ganja' yang menjadi tumpuan ialah kes melibatkan pesara tentera Amiruddin @ Nadarajan Abdullah yang sedang berhadapan dakwaan mengedar ganja di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan perbicaraannya kini dibawa ke Mahkamah Tinggi.
Sebelum pentadbiran PH runtuh, Mahathir pada 18 Februari berkata kerajaan akan menilai dan mengkaji semula dasar serta undang-undang berkaitan penyalahgunaan dadah di negara ini, termasuk hukuman mati mandatori yang dilihat terlalu keras.
Katanya, mereka yang menjadi penagih dadah akan dirawat sebagai pesakit memandangkan trend penyalahgunaan dadah kini sudah berubah daripada dadah konvensional berasaskan tumbuhan seperti ganja, morfin dan heroin kepada jenis sintetik yang lebih memudaratkan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai