Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Presiden MIC ikrar sasar Sanusi isu balak, galian nadir bumi

Presiden MIC, S Vigneswaran berikrar untuk menyasarkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor terutama dalam isu pembalakan dan eksploitasi unsur nadir bumi (REE).

Hal ini ketika meningkatnya ketegangan antara MIC dan kerajaan Kedah pimpinan PAS, selepas kenyataan Sanusi terhadap pemimpin India dari MIC dan DAP yang diselang-seli sindiran dengan tanggapan stereotaip perkauman.

Semalam, Sanusi memperli pemimpin India MIC dan DAP yang mengkritiknya atas isu perobohan kuil di Kedah.

Dia menyindir pengkritiknya,"janganlah minum hanya sebotol, mabuknya dua tiga botol," serta mencadangkan pihak yang membantah perobohan kuil itu "mabuk todi populariti."


BACA BERKAITAN: Bantah roboh kuil: Jangan minum sebotol, mabuk dua tiga botol - Sanusi


Vigneswaran berkata mulai hari ini dan seterusnya; dia akan membangkitkan semua isu di Kedah, termasuk REE dan pembalakan.

"Oleh kerana kerajaan negeri menandatangani perjanjian dengan syarikat yang berpusat di Kuala Lumpur yang mempunyai kaitan dengan China, saya ingin bertanya berapa peratus (keuntungan) yang akan diperoleh Kedah?

"Saya difahamkan bahawa syarikat itu hanya menawarkan 10 peratus kepada kerajaan negeri.

"Sekiranya ia hanya 10 peratus, ini adalah perjanjian bodoh. Oleh itu, saya meminta kerajaan persekutuan untuk tidak mengeluarkan permit sehingga perkara ini dijelaskan dan diselesaikan," katanya.

Presiden MIC, S Vigneswaran.

REE, yang ditemui di Sik, Ulu Muda, dan Baling, dikatakan bernilai hingga RM62 bilion. Semasa sidang media, Sanusi keliru mengatakan bahawa nilai REE tersebut adalah RM43 trilion.

Selepas itu, pejabat MB telah membetulkan angka tersebut.

Syarikat itu telah diberikan izin persetujuan untuk tinjaun mencari gali REE di Sik, tetapi tidak melibatkan kaedah perlombongan. 

Sanusi tidak menyatakan anggaran nilai simpanan bahan galian di kawasan itu atau menamakan negara asal syarikat antarabangsa yang dikaitkan dengan syarikat tempatan itu.

Vigneswaran menegaskan kerajaan negeri boleh melakukan lebih baik lagi dengan memproses sendiri REE, yang dapat meningkatkan peluang pekerjaan di negeri ini daripada menghantarnya ke China.

Dia memberi amaran kepada kerajaan negeri agar tidak merampas kekayaan dari rakyat Kedah.

"Tolong jangan merampas kekayaan daripada orang Kedah. Masalah-masalah mengenai REE mungkin lebih besar daripada skandal 1MDB.

"Mengapa kerajaan negeri tidak dapat melakukan produksi hiliran? Mengapa mengirim (REE) ke China?" katanya.

Isu eksploitasi nadir bumi menjadi topik kontroversi di Malaysia, terutama setelah insiden pencemaran radioaktif di Bukit Merah, membabitkan dakwaan menyebabkan barah kepada penduduk.

Kilang Asia Rare Earth Sdn Bhd akhirnya tutup pada tahun 1994.

Kilang proses nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan juga mendapat bantahan ramai.

Walaupun dibantah, Pakatan Harapan ketika menjadi kerajaan telah memberikan lanjutan lesen operasi selama tiga tahun kepada Lynas Corporation untuk mengendalikan kilang pemprosesan nadir bumi di Gebeng.

[Baca laporan asal]