Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Umno masih berteka-teki calon MB Perak

Umno Perak masih berteka-teki soal calon menteri besar yang baru selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini menolak undi percaya yang dikemukakan terhadap Ahmad Faizal Azumu.

Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad, berkata buat masa ini tiada maklumat yang dapat dikongsikan berhubung perkembangan politik di negeri itu.

Selain itu, dia turut memaklumkan bahawa Umno Perak belum membincangkan soal jawatan menteri besar.

"Tiada apa yang boleh saya beritahu (media) ketika ini, kita belum bincang apa-apa," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan yang cukup dalam undi percaya di DUN Perak pagi tadi untuk memeprtahankan jawatan menteri besar.

Sebanyak 48 undi menolak usul percaya berbanding 10 yang menyokong Adun Chenderiang itu. Satu undi rosak atau berkecuali.

Umno dan DAP mempunyai kerusi terbanyak dalam DUN Perak, iaitu masing-masing 25 dan 16 kerusi.

Amanah mempunyai lima kerusi, diikuti Bersatu (6), PKR dan PAS masing-masing tiga kerusi dan bebas satu.

Usul terhadap Faizal sebelum itu dibawa Adun Pengkalan Baru dari Umno, Abd Manaf Hashim.

Sementara itu, Adun Sungai Rapat Mohammad Nizar Jamaluddin dari parti Amanah berkata masih terlalu awal untuk parti itu membuat keputusan sama ada akan menyokong menteri besar baru Perak atau tidak.

Jelas Nizar, setakat ini juga, masih tiada perbincangan berhubung pemilihan calon jawatan tertinggi pentadbiran negeri itu.

“Yang ini (sokongan Amanah kepada menteri besar baru) terlalu awal untuk dikatakan. Sebab setakat ini tiada lagi perbincangan apa-apa.

“Terlalu awal untuk buat keputusan sokong menteri besar baru atau tidak,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.