Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Perihal pendapatan asas sejagat

Walaupun banyak pihak tertarik kepadanya, termasuk ahli politik dan aktivis yang meminta perlaksanaannya di bawah Belanjawan 2021, pendapatan asas sejagat (universal basic income/UBI) cenderung disalahgunakan berbanding dasar fiskal yang ditujukan dengan lebih efektif, produktif dan berkesinambungan.

Dasar fiskal yang secara langsung mewujudkan pekerjaan mampu menangani isu peluang pekerjaan dan jaminan pekerjaan yang menjadi kebimbangan utama bagi rakyat menurut Indeks Kerisauan Nasional (National Worry Index/NWI) EMIR Research bagi suku ketiga 2020.

UBI bukan hanya bermaksud pembayaran tunai. Ia berbeza dengan pemindahan wang tunai yang berperanan dalam memenuhi keperluan kebajikan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Perbezaan antara UBI dan pemindahan tunai terletak pada tujuan dasarnya.

Pada dasarnya, UBI adalah sistem tunggal berketerangkuman yang boleh digunakan sebagai alasan untuk menghapuskan sistem kebajikan yang terdiri daripada pelbagai saluran pengedaran tunai.

Dalam banyak variasi, UBI berfungsi sebagai pendapatan tetap atau upah untuk penganggur.

UBI juga boleh berbentuk skim dasar meluas bagi mereka yang berpendapatan bawah tahap tertentu, ataupun kadar tetap dibayar kepada semua tanpa mengira tahap pendapatan.

UBI merangkumi peranan kedua yang kurang penting yang dimainkan oleh dasar fiskal berbanding dasar monetari.

Ini mungkin mengejutkan sebilangan penyokong UBI.

Ini kerana UBI mewakili dasar fiskal – sebagai suntikan pemerintah – dan bukannya perbelanjaan pengguna melalui dasar monetari, iaitu perbelanjaan pengguna yang bergantung kepada hutang.

Proponen UBI yang asal berpendapat bahawa Kemelesetan Besar (1929) merupakan fenomena monetari – disebabkan kekurangan wang untuk perbelanjaan dan pinjaman akibat krisis perbankan, penjunaman pasaran saham dan permintaan agregat yang merudum dengan mendadak.

Penyelesaiannya adalah supaya bank pusat meningkatkan bekalan wang (kecairan) dalam ekonomi kerana ia menentukan agregat monetari seperti M0 (wang asas, iaitu rizab yang dipegang di bank pusat bersama peredaran wang dalam ekonomi keseluruhannya).

Bank pusat menetapkan kadar faedah rasmi yang kemudiannya memberikan kesan rantaian terhadap kadar faedah pasaran.

Ini bermaksud bahawa kecenderungan adalah terhadap dasar monetari dan bukannya dasar fiskal sebagai pemacu utama pemulihan ekonomi.

Menurut proponen UBI yang asal, penganggur dan mereka yang berada di bawah tahap pendapatan tertentu boleh menerima UBI daripada cukai yang dikenali sebagai cukai pendapatan negatif/terbalik, iaitu setanding dengan kehilangan pendapatan dan tahap pendapatan masing-masing, hingga kadar tetap tertentu.

Versi lain mengatakan bahawa UBI dilaksanakan tanpa syarat untuk semua tanpa mengira pendapatan dan status pekerjaan.

Di mana terdapatnya pengangguran besar-besaran, pemerintah tidak mempunyai tanggungjawab moral untuk menciptakan pekerjaan secara langsung atau dengan kerjasama sektor swasta.

Lebih lagi, UBI, jauh daripada mempromosikan dasar fiskal, membenarkan justifikasi ideologi itu untuk kekangan perbelanjaan kebajikan.

Ada yang menyokong perlaksanaan UBI atas sebab tidak perlunya gaji minimum atau memenuhi tuntutan gaji oleh kesatuan buruh, sebagai contoh.

Sementara yang lain berpendapat bahawa UBI adalah skim dan polisi yang adil, saksama dan progresif kerana pemerintah masih menunaikan peranannya dalam membasmi kemiskinan.

Tetapi seperti yang dirujuk, UBI dapat digunakan untuk membantutkan dan melemahkan tuntutan upah pekerja.

Dengan UBI, sektor pemerintah dan swasta mempunyai alasan untuk tidak mengurangkan tahap pengangguran.

Ini sememangya memerlukan pemerintah untuk meningkatkan defisit fiskal bagi mengatasi kekurangan perbelanjaan dalam ekonomi yang disebabkan keputusan sektor swasta untuk bersimpanan lebih.

Sekiranya dikembangkan dengan lebih luas, UBI dapat disalah guna dan dieksploitasi untuk mensubsidi syarikat gergasi seperti insurans besar (kesihatan) umpamanya – apabila dikaitkan dengan syarat (misalnya, langganan wajib berselindung disebelakang dasar insurans kesihatan awam).

Dalam konteks kerentanan Malaysia terhadap momentum inflasi, memperkenalkan UBI walaupun diubahsuai sebagai ciri dasar tetap boleh mengakibatkan kenaikan dan pengembangan cukai barang dan perkhidmatan (GST) hingga dua digit – yang akan lebih membebankan golongan B40 dan M40.

Ini hanya menambah tekanan kepada kenaikan inflasi.

Dan ia masih tidak akan mengatasi masalah simpanan rendah untuk persaraan (walaupun dengan kewujudan Kumpulan Wang Simpanan Nasional/KWSP dan pencen), apatah lagi masalah perbelanjaan melampau dan penghutangan.

Tidak ketinggalan juga adalah cabaran untuk memperoleh kemahiran baru, meningkatkan kemahiran sedia ada, memperkasakan produktiviti, memajukan mobiliti sosioekonomi, dan tidak mengurangkan kebergantungan pada tenaga kerja asing.

Pemerintah berkemungkinan tidak berminat untuk mencapai tahap tenaga kerja penuh yang difahami sebagai 3% daripada jumlah pekerja yang ada dengan implikasi struktur (misalnya, pengangguran remaja yang semakin meningkat) dan sosial (misalnya, mobiliti ke atas yang tidak setimpal dengan kos sara hidup).

Sebaliknya, peranan dan fungsi pemerintah melalui dasar fiskal dalam menangani semua itu – mendorong pertumbuhan dan produktiviti serta merangsang permintaan dalam kemerosotan ekonomi (dan seterusnya) tetap diperlukan.

Selain UBI, sebenarnya tidak perlu memberi insentif kepada penganggur untuk bekerja apabila pekerjaan yang diciptakan pemerintah tersedia dengan secara langsung atau tidak langsung (misalnya melalui syarikat yang berkaitan pemerintah).


JASON LOH SEONG WEI merupakan ketua bahagian sosial, perundangan dan hak asasi di EMIR Research.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.