Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis siasat dakwaan deraan terhadap pekerja asing Top Glove

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Muhamad Yazid Muhammad Yew berkata siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Polis Selangor mengesahkan menerima laporan daripada syarikat pembuat sarung tangan Top Glove mengenai tuduhan seorang penguat kuasa melakukan penderaan ketika bertugas di sekitar kemudahan kuarantin di Meru, Klang, yang berada di bawah PKPD.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Muhamad Yazid Muhammad Yew (gambar, judul) berkata siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Kami mengesahkan bahawa kami telah menerima laporan polis daripada Top Glove berkaitan dengan tuduhan deraan oleh pegawai penguat kuasa di kawasan itu.

"Perkara itu masih dalam siasatan," kata Yazid pada sidang media di ibu pejabat polis Selangor petang ini.

Sebuah video yang menjadi tular awal minggu ini menunjukkan seorang lelaki yang dikatakan pekerja asing di kilang Top Glove didera anggota keselematan tular di media sosial sehingga menimbulkan kemarahan orang awam.

Video berkenaan dipautkan di akaun Facebook bersama gambar pekerja asing berkenaan dan kad pekerja kilang sarung tangan, Top Glove.

Dalam video itu, seorang lelaki dilihat berguling di atas tanah, manakala seorang lelaki lain berdiri di sampingnya dengan memegang alat yang kelihatan seperti cambuk.

Lelaki berkenaan dilihat memakai pakaian tentera, manakala kedua-duanya memakai pelitup muka.

Satu sumber yang mengetahui keadaan tersebut sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa para pekerja takut tetapi "mahu video itu disiarkan secara terbuka dan penderaan itu dihentikan".

Sementara itu, Yazid juga mengulas video berasingan yang dilaporkan oleh China Press yang menunjukkan sekumpulan lelaki memanjat pagar yang dipercayai terletak berhampiran asrama mereka yang terletak di kawasan yang sama.

"Ini bukan masalah kerana mereka tidak meninggalkan kawasan (perintah kawalan pergerakan diperketatkan).

"Tempat yang ingin mereka pergi itu adalah sebuah rumah yang juga menjadi kedai runcit," katanya.

Jelas Yazid, hasil siasatan mendapati pagar itu merupakan jalan pintas yang digunakan oleh pekerja berkenaan.

Katanya, pihak berkuasa tempatan Klang sejak itu telah bertindak untuk menutup operasi perniagaan di rumah tersebut.

Menurut Yazid, secara keseluruhan, terdapat 2,184 orang dikuarantin di 11 hotel di kawasan PKPD di Klang.

Kluster Teratai yang dikaitkan dengan kilang Top Glove di Klang menjadi kluster Covid-19 terbesar setakat ini dengan 5,083 kes aktif sehingga semalam.

Sementara itu, Yazid berkata, polis Selangor telah menerima 54,711 permohonan perjalanan antara negeri dari 26 November hingga semalam.

Katanya, 1,206 permohonan ditolak, sebahagian besarnya disebabkan perjalanan untuk bercuti.

Sebanyak 3,141 kenderaan juga diperintahkan untuk berpatah balik di pelbagai sekatan jalan raya kerana tidak mempunyai kebenaran untuk melakukan perjalanan.

Selangor berada di bawah PKPB sejak 14 Oktober dan esok kerajaan dijangka akan memutuskan sama ada akan mengakhiri atau melanjutkan perintah itu.

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.